SHAH ALAM: Anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kini dilapor mempunyai aliran tunai lebih baik dan bersedia terlibat dalam projek pembangunan dalam tempoh dua hingga lima tahun akan datang.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, PKNS mempunyai prospek lebih baik selepas beliau mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri sejak 2018 termasuk perancangan pembangunan semula Pusat Bandar Shah Alam.
“Alhamdulillah dari semasa ke semasa, suatu ketika dahulu ketika saya mengambil alih pentadbiran Selangor pada 2018, PKNS berdepan dengan masalah aliran tunai yang agak kritikal.
“Selepas beberapa anjakan dibuat, mencatatkan beberapa keputusan positif di atas kertas dan juga aliran tunai, saya kira dua hingga lima tahun mendatang adalah lebih agresif kepada PKNS untuk terlibat dalam pembangunan,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Beliau menambah, PKNS secara langsung akan terlibat dalam pembangunan PKNS Square yang melibatkan kawasan pusat bandar di Seksyen 14 termasuk bangunan-bangunan seperti Perangsang dan MRCB.
“Di antara perkara yang kita lihat sekarang ini di sekeliling yang sedang dalam perancangan adalah di kawasan ini sendiri yang akan terlibat sendiri adalah PKNS Square, yang mana akan menghidupkan semula dan nyawa baharu kepada pembangunan dan perancangan yang ada di sini dan sebahagiannya pada tema dan juga konsep 1980-an.
“Ia melibatkan beberapa unit bangunan yang kita ambil alih, Perangsang, bangunan MRCB hasil penyelesaian hutang lama kita sudah selesaikan, jadi keseluruhan kawasannnya bangunan utamanya adalah milik kerajaan negeri atau PKNS.
“Jadi, kita boleh redesign, refocus, realign dan sebagainya, jadikan kawasan ini lebih vibrant dan sesuai dengan kapasiti sebagai Ibu Negeri Selangor,” jelasnya.
Tambah Amirudin yang juga merupakan Pengerusi PKNS, proses pembangunan semula itu turut melibatkan bangunan sedia ada termasuk Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dan keseluruhan kawasan sekitarnya.
“Sekarang kita sedang meneliti rakan-rakan kongsi yang layak ataupun pelabur-pelabur yang bersedia ingin membangunkan kawasan itu. Ya kawasan keseluruhannya kira-kira RM2 bilion,” ujarnya.
Malah, katanya lagi, pembangunan semula PKNS Square itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan dalam tempoh lapan hingga 10 tahun.
“Ia bukan satu atau dua tahun untuk disiapkan, tetapi ia adalah progresif dalam lapan hingga 10 tahun yang akan berlangsung dan itu adalah suatu proses yang berterusan.
“Itu sebenarnya bagus juga, sebab kalau kita buat one-shot boleh isunya daripada skala kapasiti dan ekonomi serta aliran tunai akan perlu disusun, jadi (buat) satu persatu,” katanya. – UTUSAN










