PETALING JAYA: Pejabat Perdana Menteri menegaskan pendirian Kerajaan Persekutuan bahawa Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) dibuat dan diluluskan oleh Parlimen secara sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.
Ia berikutan beberapa laporan akhbar yang menyatakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu menolak pemakaian (Akta 750).
“Tujuan Akta 750 ini digubal adalah bagi mengadakan peruntukan mengenai laut wilayah Malaysia dan memelihara keutuhan sempadan wilayah dan hak kedaulatan Malaysia serta bagi menjamin keutuhan keselamatan dan integriti wilayah,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, Penggubalan Akta 750 juga adalah bagi memenuhi obligasi Malaysia di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).
“Walaupun DUN Terengganu telah membuat keputusan menolak pemakaiannya, namun ia masih sah dan terpakai di seluruh negara termasuk di Terengganu, melainkan ia diisytiharkan sebaliknya oleh mahkamah,” jelasnya.
Tambahnya, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk memastikan hak kedaulatan negara termasuk perairan sentiasa dilindungi.
Bukan itu sahaja, selaras dengan nilai Malaysia Madani, Kerajaan Persekutuan sentiasa memberikan peruntukan pembangunan kepada semua negeri termasuk Terengganu. – UTUSAN










