PETALING JAYA: Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) mengumumkan pelantikan Datuk Abdul Rahman Ahmad sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), berkuat kuasa 1 Julai 2024.
Menurut kenyataannya, Abdul Rahman ketika ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Bank Berhad serta telah berkhidmat sejak tahun 2020.
Beliau membawa bersama pengalaman kepimpinan lebih 20 tahun dalam pelbagai perkhidmatan kewangan dan sektor korporat, termasuk Malaysian Resources Corporation Berhad, Media Prima Berhad dan Ekuiti Nasional Berhad.
“Abdul Rahman juga merupakan bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas Sime Darby Berhad dan Velesto Energy Berhad.
“Sebelum menjawat jawatan terkini sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, beliau pernah berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB dari 2016 hingga 2019 dan memainkan peranan penting dalam memacu transformasi strategik PNB,” katanya.
Lembaga Pengarah PNB mengalu-alukan kepulangan Abdul Rahman dalam menyediakan kesinambungan dan memacu pelaksanaan pelan strategik PNB yang baru dibangunkan serta membantu melaksanakan matlamat PNB untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi. – UTUSAN










