BUKIT MERTAJAM : Sebanyak 80 reformasi atau pembaharuan berjaya dilaksanakan dalam tempoh 100 hari di Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) sejak Steven Sim Chee Keong mengambil alih kepimpinan di kementerian tersebut.
Menurut Steven, daripada jumlah itu, empat tema utama telah diberikan penekanan iaitu berkaitan gaji pekerja, latihan, keselamatan sosial dan tatakelola yang baik.
“Kita mahukan pampasan gaji yang lebih baik. Maka, saya sudah umumkan supaya gaji minimum tahun ini disemak semula selain mempercepatkan pelaksanaan projek rintis dasar gaji progresif.
“Kedua, kita akan rancakkan sektor latihan dan sebagai contoh, kita sudah menandatangi memorandum persefahaman (MoU) dengan 13 penyedia latihan antaranya Google, Linkedin, Cloud dan Alibaba bagi memberi platform serta ruang kepada rakyat untuk menjalani kursus ini menerusi caruman Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Program Iftar Kesuma Madani yang berlangsung di Seberang Jaya, di sini malam tadi yang turut dihadiri oleh Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pulau Pinang, Rafidah Abdul Rahim.
Pada majlis yang sama, Perkeso turut membayar faedah berjumlah RM76,243.60 kepada empat penerima faedah meliputi Faedah Hilang Upaya Kekal serta Faedah Pengurusan Mayat.
Selain itu, seramai lima ibu tunggal, 36 kanak-kanak merangkumi 23 anak yatim, enam anak angkat Perkeso Protek serta tujuh anak penerima faedah Perkeso menerima sumbangan hamper dan duit raya sempena Aidilfitri yang bakal menjelang.
Mengulas lanjut, Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, Perkeso turut melancarkan aplikasi telefon pintar, Prihatin sebagai pejabat ke-55 PERKESO bagi membolehkan pencarum menyemak status caruman dan memuat turun penyata caruman mereka.
Pada masa yang sama katanya, semua jabatan dan agensi di bawah Kesuma diarahkan untuk memiliki pensijilan ISO Anti-Bribery Management System (ABMS) bagi memastikan tatakelola baik dapat dilaksanakan.
“Strategi Kesuma adalah untuk memberi perlindungan keselamatan sosial 24 jam kepada pekerja bagi menjamin kelangsungan hidup rakyat di negara ini,” katanya.-UTUSAN










