KUCHING: Jabatan Imigresen Sarawak menahan 72 pendatang tanpa izin (PATI) Indonesia dalam operasi ‘Ops Sapu’ di sekitar Asajaya, Kota Samarahan di sini semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen Sarawak, Abdul Halim Abang Naili berkata, operasi itu dijalankan bersama 30 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak.
“Ops Sapu’ dilancarkan selepas mengumpulkan risikan berhubung warga asing yang disyaki bekerja tanpa pasport, permit kerja tamat tempoh dan tinggal lebih masa di Malaysia,” kata beliau.
Menurut beliau, daripada 72 yang ditahan 55 melibatkan lelaki manakala 17 lagi wanita.
Beliau berkata, operasi tersebut akan diteruskan di seluruh Sarawak dalam usaha mengesan dan menahan warga asing yang berada di negara ini tanpa dokumen.
Katanya, kesemua tahanan kini ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Semuja, Serian untuk siasatan dan tindakan lanjut. – UTUSAN










