ARAU: Ketiadaan bekalan beras tempatan di pasaran terus menjadi persoalan selepas pengilang sudah pun mengagihkan sebanyak 550 tan metrik atau 55,000 kampit beras bagi pek 10 kilogram kepada anak syarikat yang dilantik Kawal Selia Padi dan Beras.
Menurut sumber dalaman sebuah kilang beras, pihaknya telah menghantar beras berkenaan sejak minggu lalu namun apabila dilihat di pasaran beras tempatan masih sukar ditemukan dengan beras import terus memenuhi rak-rak sama ada di pasar raya atau kedai-kedai.
Katanya, meskipun terpaksa menanggung kerugian sehingga RM380,000 namun pihak kilang rela berkorban bagi memastikan bekalan beras tempatan ada di pasaran namun menyedihkan apabila ia tidak berlaku.
“Apabila diagihkan kepada anak syarikat Kawal Selia Padi dan Beras berkenaan, kilang akan rugi tetapi kita ingin melihat beras tempatan ada di pasaran. Tetapi beras tempatan tidak ada juga di pasaran.
“Setakat ini, difahamkan hanya kilang kami sahaja yang menghantar beras berkenaan manakala kilang-kilang lain masih mahu melihat keadaan beras di pasaran terlebih dahulu,” katanya.
Sementara itu, sumber kilang berkenaan berkata, masalah yang terus berlarutan itu menunjukkan isu manipulasi beras terus berlaku dengan pihak tidak bertanggungjawab mencampurkan beras tempatan dan import seterusnya dijual pada harga beras import.
Ujar sumber itu, langkah menetapkan satu gred beras sahaja pada satu harga mampu menyelesaikan isu manipulasi ini.
“Langkah itu antara lain dapat mengelakkan masalah manipulasi harga dalam kalangan pembekal atau pemborong ini.
“Manipulasi tersebut berlaku apabila wujud perbezaan harga yang jauh antara kedua-dua gred beras putih ini dengan misalnya BPT bagi 10 kilogram bernilai RM26 manakala BPI pula sehingga RM35 atau RM40.
“Apabila mencampur beras tempatan dan import dengan kemudian dijual kepada harga beras import ia memberi peluang pihak tidak bertanggungjawab ini mengaut lebih keuntungan,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM) mendakwa kekurangan beras putih tempatan (BPT) ketika ini berpunca daripada sabotaj kartel beras.
Setiausahanya, Musonnef Md. Radzi berkata, masalah kekurangan BPT tidak seharusnya berlaku memandangkan bekalan beras yang dikeluarkan mencukupi daripada 60 hingga 62 peratus setiap musim.
“Bukan jadi isu bekalan lagi kerana bekalan beras kita masih lagi dikeluarkan daripada 60 ke 62 peratus setiap musim. Sekarang ini kita boleh lihat semua isu harga dan beras tidak ada,” ujarnya.
“Saya melihat isu sekarang termasuk harga beras tinggi itu dari sudut bekalan yang dimonopoli oleh kartel. Kartel ini juga yang buat kesan paling buruk sekali sekiranya beras itu tiada di pasaran,” katanya.
Tambah Musonnef, kartel terlibat juga didakwa menjadi punca harga beras tinggi di pasaran sehingga membebankan rakyat sebelum ini. – UTUSAN










