5 juta rakyat berisiko hidap diabetes

5 juta rakyat berisiko hidap diabetes

LUKANISMAN melancarkan program ‘Stand Against Prediabetes; Don’t Sugarcoat It’s (SAPd) dengan tema ‘Saring, Sahkan, Runding dan Ubah’ di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dianggarkan kira-kira 5 juta rakyat di negara ini berisiko menghidap pradiabetes dan diabetes

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, diabetes juga merangkumi hampir 50 peratus jumlah kos rawatan bagi menguruskan penyakit tersebut menerusi peruntukan tahunan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Penyakit diabetes ini merangkumi hampir 50 peratus kos rawatan iaitu bernilai hampir RM4 bilion yang kita gunakan dalam peruntukan tahunan KKM,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan program ‘Stand Against Prediabetes; Don’t Sugarcoat It’s (SAPd) dengan tema ‘Saring, Sahkan, Runding dan Ubah’ di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, oleh kerana penyakit tersebut lazimnya tidak menunjukkan simptom, kebanyakan individu tidak sedar akan keadaan mereka selain berkemungkinan tidak menjalani pemeriksaan awal.

Jelasnya, kempen berkenaan bertujuan mendidik dan menggalakkan orang ramai untuk mengesahkan risiko peribadi mereka, menjalani ujian saringan dan bekerjasama dengan pakar penjagaan kesihatan untuk menguruskan pradiabetes.

“Pradiabetes ini merupakan penyakit yang mungkin dapat dielakkan sekiranya kita mengambil langkah-langkah awal dan KKM mengiktiraf bahawa pradiabetes ini merupakan satu penyakit awal yang perlu kita cegah.

“Justeru dengan adanya kempen-kempen yang dijalankan, saya berharap kita lebih memfokuskan kepada memberi kesedaran kepada masyarakat yang mungkin terdedah terhadap gaya hidup dengan pengambilan gula berlebihan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi SAPd, Profesor Emeritus Dr Chan Siew Pheng berkata, hasil tinjauan kesedaran pradiabetes ke atas lebih 5,000 orang awam yang dijalankan oleh pasukan SAPd pada tahun lalu mendapati 76 peratus responden tidak pernah disaring dan tidak pasti sama ada mereka mempunyai pradiabetes.

Namun katanya, 40 peratus daripada kumpulan itu mempunyai faktor risiko pradiabetes yang lazim ditemukan, iaitu berat badan berlebihan, sejarah keluarga penghidap diabetes dan gaya hidup yang tidak aktif secara fizikal.

“Dengan pengetahuan dan sokongan yang betul, individu boleh mengambil tanggungjawab ke atas kesihatan mereka dan mengurangkan risiko menghidap diabetes jenis 2.

“Perubahan yang kecil dalam gaya hidup boleh membawa kepada peningkatan yang ketara dalam kesihatan,” katanya. – UTUSAN

//

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya