SHAH ALAM: Sebanyak 36 rakyat negeri ini yang kurang berkemampuan ditaja oleh kerajaan negeri untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, kesemua yang dipilih adalah dalam kalangan golongan yang tidak berkemampuan tetapi berhasrat untuk menunaikan ibadah tersebut.
“Pada tahun ini beta telah menitahkan supaya kerajaan negeri menaja peserta haji kepada seramai 36 rakyat Selangor dari sembilan daerah di negeri ini.
“Mereka dipilih dalam kalangan rakyat yang tidak mampu tetapi benar-benar berhasrat untuk menunaikan haji. Kerajaan negeri akan membelanjakan RM1.2 juta untuk program tersebut,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Penutup Kursus Perdana Haji Musim Haji 1445 Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini semalam.
Titah baginda lagi, sebagai Ketua Agama Islam, baginda akan terus berusaha untuk meningkatkan syiar Islam di negeri ini dan akan berpegang teguh dengan moto Istana Selangor iaitu ‘Pertahan Dan Setia Kepada Agama Islam’, ‘Berkhidmat Kepada Rakyat Dan Negara’.
Mengulas mengenai peranan Lembaga Tabung Haji (TH) baginda bertitah, rakyat harus bersyukur dengan adanya TH yang menjaga kebajikan jemaah haji negara.
“Oleh itu, gunakanlah kemudahan yang ada untuk mempermudahkan urusan mengerjakan haji atau pun umrah. Jangan mudah menyebarkan berita yang tidak tepat di media-media sosial berkaitan dengan kekurangan, kelemahan atau keburukan TH,” ujar baginda.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pengisian dalam kursus perdana tersebut akan menzahirkan suasana sebenar di Tanah Suci sekali gus melatih bakal-bakal haji agar bersedia menghadapi pelbagai situasi mencabar semasa kemuncak haji yang menghimpunkan hampir tiga juta orang jemaah dari serata dunia.
Jelasnya lagi,seramai lebih 8,000 orang jemaah daripada seluruh Selangor menyertai kursus dua hari tersebut. – UTUSAN










