KUALA LUMPUR: Pihak-pihak dalam perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diingatkan bahawa dalam menentukan sama ada pendakwaan telah membuktikan prima facie atau sebaliknya adalah mahkamah.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah turut menyatakan penentuan wujudnya prima facie adalah sesuatu yang teknikal dan tidak boleh dilakukan oleh seorang pegawai penyiasat.
“Telah diingatkan berulang kali bahawa dalam menentukan sama ada (prima facie) telah dibuktikan atau tidak adalah keputusan saya. Saya yang sepatutnya membuat keputusan sama ada elemen-elemen (dalam pertuduhan) telah dibuktikan atau tidak,” kata hakim itu.
Terdahulu, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu bahawa soalan-soalan yang dikemukakan oleh seorang lagi peguam Datuk Seri Najib Razak, Wan Azwan Aiman adalah bagi menentukan sama ada saksi pendakwaan ke-49, Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Nur Aida Arifin telah menyiasat segala elemen dalam pertuduhan.
“Kami tidak mahu dikatakan kami tidak menimbulkan perkara ini sewaktu perbicaraan. Isu berhubung pertuduhan akan menjadi perkara utama dalam hujahan kelak iaitu kesemua pertuduhan adalah salah dan bertindan,” ujarnya.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib sebelum itu mengemukakan bantahan terhadap soalan-soalan tersebut atas alasan pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib adalah sejajar dengan peruntukan Seksyen 23(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM).
“Empat perkara yang dinyatakan dalam pertuduhan tersebut bukanlah cara tertuduh mendapatkan rasuah tetapi (tindakan) cara salah guna kuasa dilakukan,” ujar Ahmad Akram.
Tambahnya, pegawai penyiasat tidak akan boleh menjawab soalan berhubung jenis suapan yang diterima Najib ekoran tindakan-tindakan tersebut dan ia sepatutnya disentuh sewaktu hujahan di akhir kes.
Tindakan-tindakan yang dimaksudkan antaranya membabitkan tindakan Najib membentangkan memorandum bagi mendapatkan kelulusan Kabinet berhubung jaminan kerajaan bagi pinjaman berjumlah RM5 juta melalui Bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) oleh Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).
TIA ditukar nama kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah sebuah syarikat pelaburan strategik milik penuh kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan Diperbadankan (MKD) pada 25 September 2009.
Sementara itu, Nur Aida ketika disoal balas memberitahu beliau tidak pernah menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pelaburan itu, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi walaupun Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada tahun 2016 mencadangkan agar lelaki itu disiasat.
Dalam laporan tersebut, jawatankuasa terbabit berpendapat bahawa Shahrol Azral dan pihak dalam pengurusan 1MDB harus bertanggungjawab terhadap kelemahan dalam urus tadbir syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.
Perbicaraan bersambung esok. -UTUSAN










