1MDB gagal pindah kes saman AS$6.59 bilion

1MDB gagal pindah kes saman AS$6.59 bilion

MOHD. IRWAN SERIGAR ABDULLAH (kiri) dan ARUL KANDA KANDASAMY.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk memindahkan kes saman yang menuntut ganti rugi AS$6.59 bilion daripada bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy ke hadapan hakim lain.

Peguam, Lavinia Kumaraendran yang mewakili Mohd. Irwan memaklumkan perkara tersebut ketika ditemui media selepas tamat prosiding yang dijalankan di kamar hakim Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.

Mahkamah turut memerintahkan 1MDB untuk membayar kos RM8,000 kepada Mohd. Irwan dan Arul Kanda.

Selain itu, Lavinia turut memberitahu, rentetan daripada keputusan tersebut, perbicaraan kes terbabit pada September ini akan diteruskan sebagai ditetapkan sebelum ini.

1MDB memfailkan saman terhadap Mohd. Irwan Serigar dan Arul Kanda pada Mei 2021 berhubung dakwaan mereka melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan syarikat pelaburan strategik itu mengalami kerugian berjumlah AS$1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited (Brazen Sky), yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.

1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan itu melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang 1MDB berjumlah AS$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.

Menurut 1MDB, Mohd. Irwan juga berkonspirasi dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian itu tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian.

Sehubungan itu, 1MDB antaranya menuntut kedua-dua defendan membayar AS$6.59 bilion berhubung pelanggaran terbabit dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan.

Pada 18 Februari 2022, Mohd. Irwan Serigar memfailkan permohonan untuk membatalkan saman 1MDB atas alasan antaranya saman itu adalah pramatang kerana pelaburan Brazen Sky serta pembayaran Aabar Investments PJS Limited adalah jelas tidak kukuh memandangkan mahkamah masih belum menentukan 1MDB mengalami kerugian sebanyak AS$1.83 bilion dan AS$3.5 bilion.

Sementara itu, Arul Kanda memfailkan permohonan sama pada 2 Jun 2022 atas alasan beliau tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kerugian ditanggung 1MDB hasil penyelewengan dilakukan orang lain.

Bagaimanapun pada 23 Ogos 2023, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan kedua-dua individu terbabit atas alasan dakwaan penipuan dan konspirasi yang dibuat 1MDB dalam tuntutan samannya terhadap Mohd Irwan dan Arul Kanda selaku defendan, tidak boleh diputuskan melalui pendekatan terus dan mudah.

Raja Ahmad Mohzanuddin dalam keputusannya turut menyatakan tuntutan saman yang difailkan syarikat pelaburan strategik itu tidak sesuai untuk dibatalkan pada peringkat ini dan ia hendaklah diputuskan melalui perbicaraan penuh dengan mendengar keterangan saksi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN