PUTRAJAYA: Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menekankan kepentingan penglibatan lebih ramai wanita untuk memenuhi keperluan 25,000 profesional dalam bidang keselamatan siber di negara ini menjelang tahun 2025.
Pengarah Dasar dan Kerjasama Antarabangsa NACSA, Shariffah Rashidah Syed Othman berkata, ketika ini dianggarkan kira-kira 13,000 profesional masih diperlukan dalam bidang tersebut bagi membentuk sebuah ekosistem keselamatan siber yang baik.
“Jadi dengan adanya program Women in Cyber (WiC) ini, kita nampak golongan wanita lah yang akan memenuhi lagi 13,000 profesional yang diperlukan supaya kita boleh bentuk satu ekosistem keselamatan siber yang baik.
“Program ini juga merupakan salah satu langkah untuk kita ‘reach out’ kepada lebih ramai wanita di luar sana,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program WiC 2024 anjuran NACSA di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin.
WiC 2024 adalah program yang menghimpunkan wanita bekerja dan platform perkongsian pengetahuan serta kemahiran dalam keselamatan siber dengan kehadiran kira-kira 400 pemegang taruh dalam bidang tersebut.
Mengulas lanjut, Shariffah Rashidah berkata, NACSA dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut melihat keselamatan siber sebagai satu bidang yang bersesuaian dengan wanita berikutan tempoh bekerjanya yang fleksibel.
“Bidang ini sangat sesuai dengan ‘nature’ wanita yang ingin mengejar karier dan pada masa sama mahu mendirikan rumah tangga dan bergerak ke arah pembentukan keluarga yang bahagia.
“Selain itu, ia juga memerlukan diversiti, maksudnya jangan dominan terhadap satu jantina (sahaja), ia perlukan wanita untuk turut sama memenuhi bidang sains dan teknologi supaya kita dapat bersama-sama membentuk satu pasukan di negara ini dalam sektor keselamatan siber,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad ketika menyampaikan ucaptama berkata, dalam memajukan kesaksamaan jantina, pelaksanaan langkah konkrit adalah diperlukan untuk memupuk keterangkuman dalam sektor keselamatan siber.
“Sebagai contoh, kita mesti mengakui fakta bahawa terdapat lebih ramai wanita daripada lelaki di universiti. Oleh itu, ini adalah peluang untuk melatih lebih ramai wanita dalam bidang keselamatan siber.
“Kita boleh berbuat demikian dengan melabur dalam inisiatif pengambilan yang disasarkan, biasiswa dan program bimbingan untuk menarik dan mengekalkan wanita dalam bidang tersebut,” ujarnya.
Tambahnya, dengan menawarkan golongan wanita sokongan yang diperlukan untuk mengimbangi kehidupan profesional dan peribadi mereka, negara boleh mengurangkan kehilangan bakat daripada tenaga kerja keselamatan siber.
“Ringkasnya, adalah penting untuk mewujudkan persekitaran yang memudahkan penyertaan wanita dalam peranan kepimpinan dan membuat keputusan,” katanya. – UTUSAN











