KUALA LUMPUR: Wanita UMNO menggesa parti itu membuktikan kesungguhan untuk berubah, selain melakukan transformasi dan membuka ruang untuk suara akar umbi.
Ketuanya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, berkata ini seiring hasrat UMNO untuk tidak lagi berpaut pada nostalgia, sebaliknya berada dalam fasa politik realiti.
“Pengundi tidak mudah termakan retorik politik, sebaliknya mahu melihat peluang dan apa yang kita boleh tawar pada masa hadapan. Kini bukan masa bersentimen tetapi untuk rakyat melihat prestasi. Wanita faham dan terima hakikat ini.
“Perjuangan UMNO tidak pernah layu dimamah zaman. Tidak pernah luntur walau diuji badai,” katanya menggulung perbahasan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini semalam.
Noraini berkata, Wanita UMNO mengalu-alukan cadangan mewujudkan sekolah digital, bertujuan memperkukuh jentera parti terutama di platform media sosial yang akan memfokuskan dua pendekatan iaitu heartware yang membawa makna sentuhan hati, sentuhan perasaan dan rakyat.
“Seterusnya, hardware iaitu kekuatan teknologi. Kekuatan ini perlu diperkasa. Kita perlu ada kekuatan hardware dan perlu kuasai teknologi.
“Wanita UMNO akan menubuhkan skuad khas digital sebagai barisan hadapan bagi menghadapi peperangan di dunia siber. Wanita tidak boleh kalah, tak boleh lagi tewas dalam persaingan media sosial ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Puteri, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, pari mesti bersedia berjalan sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, walaupun kini membentuk kerjasama pada peringkat Persekutuan.
Parti perlu mengambil pengajaran daripada PRN Sabah lalu yang mana UMNO di bawah Barisan Nasional (BN) bergerak solo, manakala Pakatan Harapan (PH) yang menjadi rakan kerjasama pada peringkat Persekutuan pula bergabung dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).’ – UTUSAN










