KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertindak segera dan secara profesional tanpa dipengaruhi oleh mana-mana parti politik untuk menahan pemimpin kanan UMNO bagi membantu siasatan berkaitan isu Tabung Haji, tanpa perlu menunggu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) selesai Sabtu ini.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dzul Hilmi Zainol berkata, sekiranya memang sudah ada bukti dan keperluan untuk seseorang itu ditangkap atau disoal bagi membantu siasatan berkaitan isu Tabung Haji, maka jangan tunggu PAU selesai.
“Tak kisahlah dia pemimpin kanan UMNO, individu yang terlibat dengan pengurusan PAU ataupun sesiapa sahaja.
“Undang-undang mesti dilihat sama rata. PAU ialah urusan sebuah parti politik, tetapi Tabung Haji melibatkan kepentingan dan amanah wang rakyat Malaysia yang beragama Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, menurut portal berita, seorang lagi pemimpin kanan UMNO difahamkan bakal dipanggil SPRM minggu depan bagi membantu siasatan berkaitan isu Tabung Haji.
Memetik sumber itu, pemimpin terbabit yang memegang kedudukan penting dalam UMNO itu diberi ‘masa’ untuk menyelesaikan urusan PAU yang bermula esok hingga Sabtu ini dan dipercayai akan disiasat berhubung penglibatannya dalam isu yang berkaitan dengan Tabung Haji.
Justeru, Dzul Hilmi berkata, kalau tangkapan memang diperlukan untuk membantu siasatan, SPRM kena buat kerja mereka tanpa mengambil kira sama ada PAU sedang berlangsung atau tidak.
Jelasnya, jangan sampai penangguhan itu memberi persepsi seolah-olah ada layanan berbeza kepada pemimpin politik.
Kata beliau, rakyat sekarang bukan hanya nak dengar tentang perkembangan PAU tetapi rakyat juga nak tahu apa sebenarnya berlaku dalam isu Tabung Haji dan mahu pihak berkuasa menyiasat perkara ini dengan telus serta mengheret mereka yang menyeleweng duit rakyat.
“Akhirnya, yang kita mahu ialah keadilan. Kalau seseorang itu tidak bersalah, biarlah siasatan membuktikannya. Tetapi kalau ada bukti yang mengatakan beliau bersalahan, dan bukti terdapat penyelewengan maka tindakan perlu diambil setegas-tegasnya.
“Jangan kerana dia pemimpin politik, proses undang-undang pula dilihat seperti boleh ditangguhkan,” katanya.
Pada masa sama, katanya, tidak ada sesiapa yang berada lebih tinggi dari undang-undang negara, dan jangan ada mana-mana parti politik yang dianggap lebih penting daripada amanah dan kepercayaan yang telah rakyat berikan. – UTUSAN










