KUALA LUMPUR: Wanita UMNO perlu keluar daripada pendekatan politik bermusim dan mengubah strategi mendekati rakyat jika mahu kembali dilihat sebagai parti yang relevan, khususnya dalam kalangan wanita muda.
Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, perubahan itu penting kerana kekuatan jentera semata-mata tidak lagi menjamin sokongan pengundi, sebaliknya parti perlu membina naratif, kredibiliti dan kepercayaan menerusi penyelesaian terhadap isu yang dekat dengan kehidupan rakyat.
Katanya, golongan wanita juga tidak seharusnya hanya didekati apabila pilihan raya semakin hampir, sebaliknya perlu disantuni secara berterusan menerusi isu seperti kos sara hidup, pekerjaan, peluang ekonomi, penjagaan anak, pendidikan, keselamatan, kesihatan mental keluarga, keusahawanan dan masa depan anak-anak.
“Pendekatan politik juga perlu berubah daripada sekadar meminta sokongan kepada usaha memahami masalah yang dihadapi rakyat dan menawarkan penyelesaian.
“Pendekatan juga perlu berubah daripada sekadar ‘kami mahu anda menyokong UMNO’ kepada ‘apakah masalah anda yang boleh kami bantu selesaikan?,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Nurulhidayah, Wanita UMNO mempunyai kekuatan tersendiri menerusi rangkaian akar umbi yang besar, namun kekuatan itu perlu diterjemahkan kepada pengaruh dan kepemimpinan dalam komuniti, bukan sekadar digerakkan sebagai jentera pilihan raya.
Katanya, pengundi muda hari ini, tidak lagi mahu hanya mendengar slogan politik, sebaliknya mahu melihat penyelesaian yang nyata, konsistensi serta keberanian pemimpin membicarakan perkara yang mereka hadapi setiap hari.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas keperluan untuk melakukan perubahan besar dari segi pendekatan dan kepimpinan, beliau berkata Wanita UMNO perlu sentiasa menyesuaikan strategi mengikut perubahan zaman.
“Ya, dari segi pendekatan, kita mesti sentiasa berubah mengikut zaman. Dahulu kekuatan politik banyak bergantung kepada berapa ramai jentera yang kita boleh gerakkan.
“Hari ini kita masih memerlukan jentera tetapi kita juga memerlukan naratif, kredibiliti dan kepercayaan, katanya.
Menurutnya, jumlah jentera yang besar tidak membawa makna sekiranya mesej parti gagal mendapat kepercayaan masyarakat.
“Kita boleh mempunyai ribuan jentera tetapi kalau mesej yang disampaikan tidak dipercayai masyarakat, kekuatan itu tidak akan diterjemahkan kepada undi,” katanya.
Beliau berkata, Wanita UMNO mempunyai kelebihan kerana kedudukannya yang dekat dengan keluarga dan komuniti, sekali gus membolehkannya memainkan peranan lebih besar dalam memahami serta menangani permasalahan rakyat.
“Wanita UMNO mempunyai kelebihan kerana kita paling dekat dengan keluarga dan komuniti. Maka kita perlu bercakap dalam bahasa kehidupan rakyat, bukan hanya bahasa politik.
“Justeru, perubahan pendekatan itu dilihat penting bagi memastikan Wanita UMNO bukan sekadar mempunyai kekuatan organisasi dan jentera di peringkat akar umbi, tetapi turut mampu membina kepercayaan serta relevansi dalam kalangan generasi pengundi baharu,” katanya. – UTUSAN










