10,000 usahawan dilatih INSKEN tahun ini

10,000 usahawan dilatih INSKEN tahun ini

EWON Benedick beramah mesra dengan usahawan semasa melawat gerai hidangan pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri INSKEN di Cyberjaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) menyasarkan untuk melatih dan membimbing sekitar 10,000 usahawan tempatan tahun ini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, tahun lalu, agensi penting di bawah KUSKOP itu berjaya membimbing seramai 9,700 usahawan.

Beliau berkata, INSKEN telah menyusun pelbagai program latihan dan bimbingan di seluruh negara bagi mencapai sasaran berkenaan.

“Ketika ini, kebanyakan usahawan bimbingan INSKEN terbabit dalam sektor perkhidmatan termasuk makanan dan minuman; bidang kecantikan dan bengkel kenderaan.

“Kami juga melihat profil usahawan itu dan kajian serta dapatan mendapati kebanyakannya akan terbabit dalam sektor perkhidmatan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri INSKEN di Semarak Hall, Cyberjaya di sini, hari ini.

Katanya, secara keseluruhan, 9,700 usahawan bimbingan INSKEN tahun lalu menunjukkan prestasi cemerlang dengan kebanyakannya mencapai 75 peratus nilai jualan selepas mendapat bimbingan daripada agensi itu.

Ewon berkata, prestasi cemerlang itu sekali gus melonjakkan kedudukan INSKEN sebagai agensi penting untuk melatih usahawan tempatan.

Menurutnya, pihaknya akan terus menyokong usaha dalam memberi latihan dan bimbingan bagi melahirkan usahawan tempatan yang berjaya dalam pelbagai bidang.

Dalam pada itu, Ewon berkata, siri karnival usahawan dan koperasi akan dianjurkan di Kuala Penyu, Sabah pada 11 hingga 12 Mei depan sempena Pesta Menuai.

Katanya, program yang sama pada skala kecil tetap diteruskan di negeri-negeri lain termasuk hari penjaja kecil, sambutan bulan koperasi kebangsaan, hari francais dab hari sosial enteprenuer yang telah dirancang sepanjang tahun ini.

“Selain itu, Karnival Usahawan dan Jualan Mega Madani juga akan diteruskan terutama menjelang musim perayaan utama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN