PUTRAJAYA: Kerajaan perlu mempertimbangkan usaha mewajibkan semua kanak-kanak terutama bumiputera untuk mula belajar sistem prasekolah seawal usia lima tahun lagi.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi Sesi Libat Urus Reformasi Pendidikan dan Modal Insan, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali pada sidang pleno Kongres Ekonomi Bumiputera.
Panel terakhir slot dihoskan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki itu berkata, ia wajar langkah pertama merombak sistem pendidikan negara.
“Inilah rumusan yang saya terima hasil pelbagai sesi libat urus di seluruh negara dengan ramai peserta mahu umur lima tahun wajib dijadikan asas bagi pendidikan kita,” jelasnya.
Ketika ini, usia persekolahan awal di Malaysia ialah tujuh tahun dengan prasekolah pula bermula enam tahun namun belum diwajibkan ekoran isu kekangan prasarana dan guru.
Sekadar perbandingan dengan contoh banyak negara maju antaranya Australia, Amerika Syarikat dan Britain, kanak-kanaknya belajar sistem tadika seawal pada usia lima tahun.
Bagaimanapun, ada bermula lebih awal umur empat tahun seperti Luxembourg, Belanda dan Switzerland, malah ada ketika usia tiga tahun lagi misalnya Perancis dan Hungary.
Mengulas lanjut, Noor Azlan yang juga ialah Pengarah Institut Pembangunan Inklusif di Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, umur tujuh tahun dianggap sebagai agak terlewat.
“Ada kajian malah menunjukkan yang murid dari keluarga dengan status ekonomi sosial rendah,sebenarnya terkebelakang empat tahun dari segi tahap pembelajaran,” jelasnya.
Justeru ujarnya memberikan contoh, jika pelajar itu tamat sekolah menengah pada usia 18 tahun, corak pemikirannya masih lagi macam orang yang berusia mencecah 14 tahun.
Selain itu, beliau juga menyarankan agar kualiti semua sekolah harian biasa ditambah baik setaraf dengan standard sekolah berasrama penuh dan maktab rendah sains Mara.
Langkah tersebut katanya, wajar diberikan perhatian serius kerana 96 peratus pelajarnya merupakan bumiputera yang sebahagian besarnya ketinggalan meskipun ada potensi.
Pada masa ini tambahnya, kerajaan dilihat lebih mengutamakan dua institusi pendidikan berkenaan yang bilangan cuma empat peratus daripada keseluruhan sekolah menengah.
“Padahal pelajar bumiputera di sini ada yang bijak namun tiada peluang memasuki dua institusi itu dan bakat mereka wajar digilap sebagai modal insan masa depan,” tegasnya.
Noor Azmi turut mencadangkan supaya nama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dijenamakan sebagai Kementerian Kemajuan Bumiputera dan Masyarakat Terpinggir bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada agenda pemerkasaan bumiputera dan mewujudkan satu sekretariat tetap bagi Kongres Ekonomi Bumiputera.
Pada masa sama katanya, kaum-kaum lain yang rentan juga diberikan perhatian agar kemakmuran ekonomi negara dinikmati bersama tanpa ada sesiapa lagi berasa terpinggir. – UTUSAN










