SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, memerintahkan Hajar Sazrul Travel & Tours Sdn Bhd membayar RM634,400 kepada 25 jemaah haji yang menggunakan Visa Furada di bawah kelolaan syarikat itu, lima tahun lalu.
Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan demikian selepas semua plaintif yang membuat tuntutan berjaya membuktikan kes terhadap defendan.
Syarikat itu turut diperintah membayar faedah pada kadar lima peratus atas jumlah keseluruhan tuntutan yang dikira bermula tarikh kemungkiran pada 5 Ogos 2019.
Dalam prosiding sama, tuntutan balas enam defendan berjumlah RM479,350 turut ditolak mahkamah.
Pada Ogos 2020, kesemua plaintif memfailkan kes di Mahkamah Tinggi bagi menuntut baki pemulangan bayaran pakej haji itu dan ganti rugi khas dan beberapa gantirugi lain.
Mereka terbahagi kepada dua kumpulan termasuk 15 jemaah yang menerima E-Visa namun terkandas di Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah kerana penggunaan e-visa palsu dan diarah pulang ke Malaysia.
Baki 10 plaintif pula merupakan jemaah yang tiada E-Visa dan tidak berlepas ke Jeddah namun menjelaskan semua bayaran pakej haji.
Pada awal 2019, mereka dipelawa menyertai satu pakej mengerjakan ibadah haji menggunakan Visa Furada dengan jaminan pulangan wang sepenuhnya jika pakej tersebut gagal.
Plaintif kemudian menjelaskan keseluruhan bayaran pakej berjumlah RM795,000 itu yang mana jumlahnya berbeza antara satu sama lain.
Pada 31 Julai tahun sama, defendan memaklumkan visa elektronik atau e-visa telah dikeluarkan bagi sebahagian jemaah termasuk 15 plaintif dalam kes itu. Jemaah yang tidak menerima pula kemudian dipelawa memperolehi visa melalui kuota Visa Raja Salman dengan membuat bayaran RM7,000 bagi setiap orang.
Namun, selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, semua jemaah itu gagal melepasi kaunter imigresen apabila setiap imbasan bar kod yang dibuat ke atas e-visa itu memaparkan identiti individu lain yang berbeza daripada identiti sebenar mereka.
Justeru, mereka dihalang memasuki Mekah dan akur dengan keputusan kerajaan Arab Saudi untuk pulang ke Malaysia.
Bagaimanapun, kesemua 25 plaintif yang lega dan bersyukur dengan keputusan hari ini berharap pengurusan Hajar Sazrul Travel dapat menguruskan bayaran yang diputuskan penghakiman itu.
Selain golongan warga emas, ada daripada plaintif tidak lagi bekerja dan berpendapatan rendah serta mereka menuntut hak kerana kemungkiran kontrak di pihak syarikat. Mereka diwakili peguam Khairun Niza Husnin dari Tetuan Khairun Husnin dan Kimberly. – UTUSAN










