Umie Aida cerewet pilih pasangan berlakon

Umie Aida cerewet pilih pasangan berlakon

UMIE AIDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Umie Aida, 51, mengakui amat cerewet dan teliti dalam memilih pasangan pelakon yang digandingkan bersamanya dalam drama atau filem.

Penerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 2002 itu berkata perkara itu disebabkan dia enggan membuang masa dan tenaga berlakon di samping pelakon yang tidak berbakat.

“Saya sangat teliti dan mesti tahu dengan siapa saya berlakon. Saya akan pastikan pasangan lakonan saya juga boleh berlakon, barulah seronok dan rasa berbaloi.

“Saya tak mahu membuang masa, pikul emosi sendirian sekiranya pasangan lakonan saya tak pandai berlakon. 

“Sebab itu saya teliti dan sangat memilih. Sebelum menerima satu-satu tawaran, saya akan pastikan saya tahu siapa pelakon yang akan berlakon dengan saya,” katanya yang ditemui selepas pelancaran drama Terlanjur Cinta terbitan platform penstriman Viu Malaysia.

Bercakap tentang drama tersebut, pelakon berpengalaman itu akui barisan pelakon yang membintangi Terlanjur Cinta dan cara kerja yang diamalkan produksi berkenaan menarik minatnya untuk kembali berlakon naskhah berat selepas 10 tahun berehat.

“Ketika sesi bacaan skrip, pelakon bebas berkongsi idea mengenai karakter masing-masing. Saya seronok dan itulah momen yang paling saya rindukan.

“Pada masa yang sama, drama ini ditayangkan sepanjang Ramadan. Itu antara sebab kenapa saya pilih untuk melakonkannya,” kongsinya.

Sementara itu, Umie juga menolak gelaran primadona dan beranggapan dirinya hanya pelakon yang beruntung kerana berpeluang membawa watak-watak yang berat.  

“Saya bukan primadona filem Melayu, cuma sejak dahulu saya diberi rezeki membawa watak yang bersifat ‘mahal’.

“Watak-watak berat dan klasik, berlatar masa 60-an dan 70-an yang pernah saya bawakan sebelum ini tak banyak dihasilkan pada masa sekarang. 

“Saya suka peranan begitu. Pada saya ia ‘mahal’ walaupun tak ramai penonton menyukainya,” jelasnya lagi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN