Tiga minggu sohor kini, Wawa Shazwa tak mahu ‘Undur Diri’ - Utusan Malaysia

Tiga minggu sohor kini, Wawa Shazwa tak mahu ‘Undur Diri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi baharu, Wawa Shazwa teruja apabila lagu solo pertamanya, Undur Diri berjaya menempa kedudukan Top 20 Trending untuk muzik di Youtube selama lebih tiga minggu.

Wawa atau Nor Shazwa Atiqah Shamshul, 24 berkata, dia juga meluahkan rasa syukur rezeki tetap berpihak kepadanya walaupun agak lama tertangguh proses rakaman untuk lagu tersebut.

“Lagu Undur Diri lambat siap proses rakamannya kerana saya ambil masa agak lama juga untuk naik balik semangat untuk meneruskan kerja-kerja rakaman selepas ayah tercinta meninggal dunia tahun lalu.

“Itu yang menyebabkan saya lambat untuk masuk studio dan rakam lagu Undur Diri. Sebenarnya, abang Eddie Hamid mewakili pihak Nova Music melamar saya untuk buat rakaman lagu ini pada tahun 2022.

“Sebenarnya, berdebar juga bila dapat lagu Undur Diri sebab ini kali pertama saya nyanyi secara solo. Sebelum ini cuma ada lagu duet. Rasa teruja dan agak berdebar juga tapi saya sudah cuba buat yang terbaik,” katanya.

Untuk info, Undur Diri adalah lagu kedua Wawa selepas Buat Insan Tersayang, duet bersama Ahmad Syafiq pada 2022.

Buat Insan Tersayang
adalah lagu yang pernah dipopularkan oleh Ashira dan Abang Eddie Hamid dulu.

Undur Diri merupapan ciptaan komposer, Ayu Rizki Yani dan penulis lirik, Hakim Hakimi & Te Ha sudah pun mencapai lebih daripada 500,000 tontonan di YouTube sejak mula dilancarkan 16 Februari lalu.

Dalam pada itu, berkongsi pengalaman di dalam studio sewaktu proses rakaman, Wawa yang menetap di Gurun, Kedah berkata, ketika itu dia ditemani oleh kedua ibu bapanya.

“Mula rakaman pukul 9 malam dan habis lebih kurang pukul 1 pagi di Studio Nar Kuala Lumpur. Waktu itu, mama dan abah memang struggle tunggu saya sampai selesai rakaman. Saya nampak mereka punya usaha sanggup korban masa mereka untuk tunggu Wawa.

“Masa pergi studio untuk buat rakaman, saya masih lagi bekerja sebagai pembantu farmasi. WawaSaya

“Pekerjaan Wawa sekarang selain menyanyi adalah sebagai pembantu klinik yang terletak di Gurun, Kedah dekat tempat Wawa tinggal,” katanya.

Lebih menggemari lagu bergenre balada, Wawa berkata, sebelum menjalani rakaman di studio, dia tidak mengikuti mana-mana kelas vokal selain mendapat tunjuk ajar daripada anggota Darul Aman Buskers saja.

Malah, peserta program Mentor Milenia 2019 ini juga menjelaskan yang lagu Undur Diri tidak ada kena mengena dengan kehidupan peribadinya.

“Lirik lagu ini umum, bila orang dengar lagu ini, mereka yang ada perasaan kecewa dan duka itu akan dapat rasakan lagu itu ada kena mengena dengan hidup mereka.

“Nak melonjak naik tidak semudah itu tapi kadang-kadang ada juga anak seni yang menggapai kejayaan sekelip mata dah boleh popular.

“Tapi bagi saya tak apa ambil masa juga, saya percaya pada rezeki. Andai lagu Undur Diri ini boleh menaikkan nama saya, Alhamdulillah,” katanya penuh harapan.

Undur Diri kini boleh distrim di kesemua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Video lirik rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya