‘Tidak semua mampu beli baju sekolah baharu’

‘Tidak semua mampu beli baju sekolah baharu’

SURIATI Shukor menunjukkan baju sekolah terpakai yang diletakkan di luar Stesen Petronas Papar, Sabah semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAPAR: “Kita tahu tidak semua orang mampu membeli baju sekolah baharu, itu sebabnya kami mengambil insiatif menjadikan stesen Petronas sebagai lokasi pengumpulan baju sekolah terpakai”.

Demikian kata Pengurus Stesen Petronas Papar, Suriati Shukor, 28, mengenai usaha yang diambil untuk membantu golongan yang memerlukan sempena pembukaan semula sekolah.

Katanya, program pengumpulan baju sekolah terpakai itu sudah diperkenalkan sejak tahun lalu dan maklum balas diterima cukup memberangsangkan.

“Pada tahun lepas maklum balas yang diterima daripada orang yang menyumbang dan penerima cukup baik maka, inisiatif tersebut diteruskan lagi pada tahun ini.

“Kami amat bersyukur kerana usaha kecil kami dapat memberi sedikit kegembiraan kepada anak-anak yang menerima baju sekolah terpakai ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Suriati, idea itu datangnya daripada majikan mereka yang melihat komuniti setempat kebanyakannya terdiri daripada golongan B40.

Sebelum ini memang majikannya memberi sumbangan secara persendirian kepada keluarga memerlukan tapi, apabila ada keperluan menyediakan bantuan baju sekolah dalam kuantiti yang besar maka, usaha diambil menjadikan stesen Petronas ini sebagai pusat pengumpulan baju sekolah terpakai.

“Sejak beberapa hari lalu memang ramai yang datang untuk mengambil baju sekolah di sini dan antara respon kami terima, mereka menyatakan ada baju yang disumbangkan di sini sukar dicari di pasaran seperti kain sekolah berwarna coklat dan baju pengawas.

“Pada masa hadapan, mungkin kami boleh cadangkan kepada semua stesen Petronas di Sabah menjadi pusat pengumpulan baju sekolah terpakai,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN