Tiada keperluan kembalikan UPSR

Tiada keperluan kembalikan UPSR

Ahli akademik berpendapat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak perlu dihidupkan semula sebaliknya sistem sedia ada dipertingkatkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada keperluan untuk mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebaliknya Kementerian Pendidikan perlu memperkukuhkan sistem pendidikan sedia ada.

Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, pelaksanaan semula UPSR berpotensi meningkatkan tekanan terhadap pelajar tanpa memberikan manfaat yang signifikan dalam proses pembelajaran.

“Selama lebih 30 tahun UPSR dilaksanakan sejak 1988, pembangunan anak-anak telah dinilai secara tidak seimbang sebagaimana yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“UPSR hanya menilai satu aspek iaitu intelek tetapi tidak mengukur adab, akhlak melalui domain jasmani, emosi dan rohani. Sebaiknya diteruskan pentaksiran bilik darjah (PBD) yang lebih seimbang dari segicara ukuran,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan disaran mewujudkan semula sistem peperiksaan seperti UPSR yang sebelum ini telah dimansuhkan.

Sementara itu, Presiden iGuru, Mohd. Azizee Hasan berkata, Kementerian Pendidikan perlu mengemaskini PBD sedia ada supaya dapat mengukur tahap kefahaman dan meningkatkan tahap akademik pelajar dengan lebih efisien.

Katanya, pelaksanaan pentaksiran itu kurang berhasil disebabkan beberapa faktor seperti kefahaman guru, kualiti pengajaran, jurang sosioekonomi, infrastruktur, infra digital, penguasaan asas murid dan persekitaran kelas.

“PBD belum cukup matang untuk dilihat keberhasilannya terutama jika murid berada di sekolah luar bandar dan di kelas yang ramai.

“Guru-guru turut menghadapi kesulitan melaksanakan pentaksiran itu dengan betul dan efisien disebabkan beban tugasan yang lain juga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN