KANGAR: Polis menahan seorang suspek lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pecah cermin kereta milik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling hari ini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, suspek, Mohd Zaffery Mohd Ludin, 36, ditahan pada pukul 4 petang di sebuah bengkel motosikal tempat dia bekerja terletak sekitar Kangar.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku telah melakukan tindakan tersebut.
“Bagaimanapun motif kes berkenaan masih dalam siasatan,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan mengenai kejadian itu di mana cermin kereta milik Ay Ling telah dibaling dengan seketul bata dalam sekitar pukul 2.40 pagi.
Sewaktu kejadian, Ay Ling dikatakan sedang menyiapkan kerja di dalam rumahnya sebelum digemparkan dengan bunyi seolah-olah letupan dari arah tempat parkir kenderaan miliknya.
Selepas itu, beliau keluar untuk meninjau situasi berkenaan dan melihat kelibat sebuah motosikal sedang berlalu pergi meninggalkan kawasan rumahnya.
Dalam pada itu, Yusharifuddin berkata, menerusi penahanan tersebut, pihaknya turut merampas beberapa barangan antaranya seperti seketul bata berwarna merah yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.
“Selain itu, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda Wave berwarna merah, satu unit topi keledar dan satu bingkai gambar berwarna merah,” katanya.-UTUSAN










