PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) merumuskan bahawa suntikan modal RM259.98 juta oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak 2007 hingga 2018 bagi tujuan pemilikan saham UiTM Holdings tidak selaras dengan akta institusi pengajian tinggi tersebut.
Perlanggaran itu berlaku di bawah Akta Universiti Teknologi MARA 1976 [Akta 173].
Berdasarkan Laporan PAC berhubung UiTM Holdings Sdn. Bhd. di bawah UiTM dan Kementerian Pendidikan Tinggi, jawatankuasa tersebut mendapati perincian perbelanjaan bagi suntikan modal tidak dapat dikemukakan untuk semakan audit memandangkan penyelenggaraan dokumen yang tidak teratur bagi tahun sebelum 2022.
Pengerusi PAC Parlimen, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya juga mendapati bahawa kegagalan UiTM mendapatkan kelulusan Menteri Kewangan menyebabkan pengambilalihan UiTM Private Education Sdn. Bhd. (UPESB) dan UiTM Technoventure Sdn. Bhd. (UTVB) bertentangan dengan Akta 173.
Beliau berkata, PAC juga merumuskan bahawa UiTM Holdings dan anak-anak syarikatnya belum mencapai objektif asal dan mandat untuk mencipta kekayaan, peluang pelaburan dan meningkatkan kedudukan strategik perniagaan teras syarikat tersebut.
“Selain itu, projek solar oleh pihak UiTM Holdings jelas memberi manfaat kepada pengoperasian UiTM namun pertukaran syarat nyata tanah di Solar Park I Gambang, Pahang belum diselesaikan.
“Kegagalan memuktamadkan perjanjian penyewaan baharu antara UiTM dan UiTM Private Healthcare Sdn. Bhd. (UPHSB) mengakibatkan berlaku tunggakan sewaan selama 15 bulan selain menyebabkan bangunan hospital Pusat Kesihatan Pakar UiTM tidak dapat disenggara dengan baik,” katanya.
Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, pihaknya telah mengadakan prosiding pada 6 Disember tahun lalu untuk memanggil saksi iaitu Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian; Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UiTM Holdings, Farisan Mokhtar.
“Mesyuarat penyediaan laporan ini dibuat pada 27 Februari lalu dan turut dihadiri tujuh ahli Ex-Officio PAC terdiri daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kementerian Ekonomi dan Jabatan Akauntan Negara yang bersetuju dengan laporan, rumusan, syor dan memuktamadkannya,” katanya.
Beliau berkata, sebagai langkah penambahbaikan, PAC Parlimen mengesyorkan enam perkara untuk dilaksanakan oleh KPT dan UiTM iaitu institusi tersebut perlu lebih efektif dalam mengawal selia UiTM Holdings dan anak-anak syarikatnya supaya menjana keuntungan serta mampu membayar dividen selaras dengan matlamat penubuhan.
Katanya, UiTM perlu memastikan pematuhan kepada kuasa melulus dalam membuat pelaburan, pinjaman dan penubuhan syarikat subsidiari selaras dengan peruntukan Akta 173.
“KPT dan UiTM hendaklah memastikan bahawa tindakan pembetulan diambil dalam isu suntikan modal berjumlah RM259.98 juta supaya selaras dengan Akta 173.
“Pihak UiTM Holdings hendaklah segera menyelesaikan isu pertukaran syarat nyata tanah di Solar Park I Gambang, Pahang. Pada masa sama, UiTM Holdings perlu membentangkan pelan komprehensif hala tuju pelaburan dan perniagaan termasuk menangani isu tunggakan terhadap penyewaan bangunan selama 15 bulan dan masalah penyelenggaraan bangunan hospital Pusat Kesihatan Pakar UiTM,” katanya.
Katanya, PAC akan memanggil semula MOF, KPT dan UiTM untuk prosiding tindakan susulan bagi isu tersebut dalam tempoh dua bulan untuk mengetahui maklum balas pihak terbabit terhadap syor jawatankuasa berkenaan. – UTUSAN










