RAWANG: Suami kepada penyanyi Adira, Datuk Red reda sekiranya perkahwinan lapan tahun yang dibina dengan penyanyi itu, berakhir.
Red atau nama sebenarnya Datuk Seri Adnan berkata beliau sudah berusaha menyelamatkan rumah tangga namun pasrah dengan ujian rumahtangga yang dilaluinya hari ini.
“Pujuk memujuk, segalanya saya dah cuba. Tapi bila sudah sampai tahap begini (perceraian), saya sudah berusaha.
“Mungkin ini bukan dugaan, sebaliknya balasan terhadap apa yang saya lakukan dahulu.
“Sebab itu sekarang saya tak ada media sosial dan hanya fokus pada keluarga,” katanya yang ditemui Utusan Malaysia di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat Rawang, dekat sini, hari ini.
Tambah Adnan lagi, dia menerima dengan hati terbuka segala keputusan yang akan ditetapkan mahkamah selepas prosiding keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP), hari ini.
“Jika sudah ditakdirkan begitu (cerai), saya terima saja.
“Tapi selagi saya bernafas, saya akan berjuang untuk keluarga,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Adira yang tiba di mahkamah pukul 9:05 pagi ditemani peguam, Nor Saidah Zakaria, tetap dengan pendiriannya untuk berpisah.
“Semoga yang baik-baik saja dan dapat selesai dengan cepat,” katanya.
Datuk Red melantik sahabat baik sendiri sebagai wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) manakala Adira selaku plaintif telah melantik kakaknya, Emma Suhaimi untuk prosiding berkenaan.
Dalam proses itu, wakil pihak masing-masing akan memberi nasihat untuk mencari jalan penyelesaian berhubung kemelut berkenaan.
Terdahulu, pada 25 Oktober tahun lalu, Adira telah memfailkan penceraian ke atas suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat Rawang, Selangor kerana tiada persefahaman.
Untuk rekod, sebelum ini Adira pernah memfailkan penceraian pada tahun 2019 namun menarik semula permohonan itu demi anak-anak.
Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4 dan Ayob yang kini berusia setahun.










