LOS ANGELES: Bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal menegaskan dia tidak terlalu memikirkan soal jaringan peribadi selagi mampu membantu pasukannya melangkah lebih jauh dan muncul juara Piala Dunia.
Pemain berusia 18 tahun itu sekali lagi gagal menemui sentuhan penyudah ketika Sepanyol menewaskan Belgium 2-1 pada aksi suku akhir, kelmarin, namun tetap berpuas hati apabila kemenangan tersebut membawa skuad La Roja ke separuh akhir bertemu Perancis.
Menurut Yamal, kejayaan berpasukan jauh lebih bermakna berbanding pencapaian individu.
“Sudah tentu saya mahu menjaringkan gol, tetapi saya tidak turun ke padang semata-mata untuk memikirkan perkara itu. Tugas saya adalah membantu pasukan.
“Jika kami memenangi Piala Dunia, tiada siapa akan mengingati sama ada saya menjaringkan gol atau tidak. Perkara paling penting ialah kami menang,” katanya selepas perlawanan.
Setakat ini, pemain Barcelona itu hanya meledak satu gol sepanjang kempen Piala Dunia, ketika membantu Sepanyol membelasah Arab Saudi 4-0 pada aksi peringkat kumpulan.
Walaupun jumlah jaringannya masih rendah berbanding beberapa bintang lain seperti Lionel Messi, Kylian Mbappe, Erling Haaland dan Harry Kane, Yamal percaya sumbangannya di atas padang tidak hanya diukur menerusi gol.
“Saya tahu saya masih boleh memberi impak walaupun tidak menjaringkan gol. Pergerakan saya sering menarik perhatian beberapa pemain lawan dan itu membuka ruang kepada rakan sepasukan.
“Saya akan terus melakukan apa sahaja yang mampu untuk membantu pasukan,” katanya.
Yamal sebelum ini mencuri tumpuan apabila membantu Sepanyol menjulang kejuaraan Euro 2024 ketika baru berusia 16 tahun.
Menariknya, dia juga hanya menjaringkan satu gol sepanjang kejohanan itu, iaitu ketika Sepanyol menewaskan Perancis 2-1 pada aksi separuh akhir.
“Ada yang beranggapan saya sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol seperti di Euro. Namun kami memenangi Euro walaupun saya hanya menjaringkan satu gol. Di Piala Dunia kali ini saya juga sudah mempunyai satu gol, jadi saya tidak terlalu memikirkannya,” katanya sambil tersenyum.
Menjelang aksi separuh akhir menentang Perancis, Yamal yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-19 sehari sebelum perlawanan berharap Sepanyol mampu sekali lagi menundukkan lawan yang dianggap antara pasukan pilihan kejohanan itu.
“Ada dua kemungkinan, sama ada mereka mara ke final Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut atau kami menewaskan mereka buat kali ketiga berturut-turut. Kita tunggu apa yang akan berlaku,” katanya. – AFP/UTUSAN










