RASANYA, tidak salah pun andai sedikit nasihat dikongsikan oleh Mawi jika ada kalangan artis atau selebriti muda, sudi mendengar dan mengambil sudut pandangnya sebagai satu teladan.
Maklum sahajalah, kebanjiran selebriti baharu termasuk golongan pempengaruh mencipta populariti secara tiba-tiba, dilihat semakin mendominasi industri hiburan pada waktu ini sejak menggilanya era media sosial, era penciptaan bahan kandungan.
Disebabkan itu, tidak dinafikan, ada kalangan mereka terpalit dengan kejutan budaya dek populariti yang datang menerpa sekali gus hanyut dengan kontroversi pelbagai rupa.
Mawi adalah orang yang tepat jika orang baharu mahu mencari contoh kes di mana populariti segera telah mengubah nasibnya menjadi penyanyi yang dikenali ramai hingga tercetusnya fenomena tsumawi sewaktu pembabitannya dalam program Akademi Fantasia musim ketiga (AF3).
Sekitar 19 tahun lalu, Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani, 43, langsung tidak tahu bahawa langkahnya ke AF3 akan membawa satu gelombang perubahan yang benar-benar ‘gila’.
“Pada waktu itu, saya tak faham pun apa itu populariti. Sebab, duduk terkurung dalam program AF selama tiga bulan, saya tak berkomunikasi dengan dunia luar. Bila menyanyi di pentas, saya pelik bila ramai datang menyokong, bersorak nama saya.
“Bila saya tanya pada penerbit adakah orang ramai yang datang ini peminat, masih saya ingat, dia katakan begini ‘ah, kau jangan perasan. Mereka itu datang sebab produksi program yang bayar supaya dewan nampak ramai dalam TV’,”katanya.
Mawi ‘termakan’ dengan kata-kata penerbit itu. Lalu, apabila dia pulang ke kampung halamannya di Kulai, Johor, bermulalah lembaran baharu yang tidak pernah difikirkannya berlaku.
“Bayangkan, laluan masuk ke Felda Taib Andak itu telah dipenuhi dengan ramai orang sepanjang jalan sampai ke rumah saya, siap polis iringi kereta saya di setiap penjuru. Tak ke pelik? Saya terpinga-pinga dan tertanya-tanya.
“Bila pemandu kata semua itu adalah mereka yang datang nak jumpa saya, dalam kereta itu jugalah saya menangis,”katanya.
PENGALAMAN KEJUTAN BUDAYA
JIKA ditanya bahagian manakah dalam hidupnya saat dia mengenali dan memahami apakah itu ‘kejutan budaya’, kata Mawi, momen di dalam kereta menuju ke rumahnya itulah yang menggambarkan segalanya.
Kata Mawi, kalau dapat dikategorikan, air mata yang jatuh pada saat itu adalah air mata kejutan yang maha dahsyat yang tidak pernah dialami sebelum itu.
“Saya menangis, apa dah jadi dengan diri saya? Iyalah, sebelum itu tak pernah tahu apa yang berlaku, keluar dari program, terus diberikan pengalaman ‘boom’ begitu. Beriya-iya saya menangis. Itulah yang dinamakan kejutan budaya buat saya.
“Macam mana saya nak kawal? Kalau orang lain, dia naik dengan langkah satu persatu dan boleh mempersiapkan diri dengan populariti. Tapi jalan saya lain. Bayangkan, Bell Ngasri pun tunggu 35 tahun baru dapat raih Anugerah Bintang Popular (ABP).
“Saya, dalam masa tiga bulan, berturut-turut pula itu. Semua artis rebut anugerah dan gelaran itu. Tiga bulan juga saya emosi. Tengok surat khabar ada muka sendiri, menangis, buka televisyen, menangis, buka radio setiap siaran ada lagu sendiri pun menangis.
“Saya tak dapat kawal diri. Macam mana nak imbangkan dan terima semua hakikat itu? Sebab itu saya kategorikan tangisan itu sebagai air mata kejutan, bukan terharu,”katanya.
DEFINISI SOMBONG
DILAMBUNG tinggi sebagai seorang penyanyi pujaan ramai, Mawi juga tidak menolak dirinya sering disangka sombong hingga lupa diri. Namun baginya, definisi sombong itu sebenarnya sangat subjektif dan adakalanya bersifat tidak adil.
“Kadangkala, orang tengok luaran, reaksi muka. Tak senyum pun dikata sombong. Kami sebagai selebriti ini kadangkala rasa serba salah. Senyum lebih salah, tak senyum pun salah. Tak sempat hulur tangan bersalaman pun dikata sombong.
“Dulu, masa tengah di puncak, orang datang rumah saya di kampung, 24 jam tanpa henti siap angkut barang-barang. Sudip pun orang ambil. Bila masa mak ayah saya nak tidur dan rehat? Kita kunci pagar rumah, dituduh sombong.
“Keadaan tak terjangka begitu, saya pun minta pengawal keselamatan jaga depan rumah, itu pun mereka kata saya berlagak sampai nak ada sekuriti. Ada ketika, saya terpaksa bawa keluarga duduk di hotel kerana nak mereka berehat.
“Itu pun dituduh sombong juga dan didakwa lari dari peminat. Macam mana nak beri kefahaman itu pada orang sedangkan kita sebagai artis pun mahukan kehidupan peribadi sendiri,”katanya.
Bagaimanapun, akui Mawi, sekarang dia lebih berasa tenang kerana seiring waktu, keadaan juga semakin berpihak kepadanya.
BUKAN SEMUA SUKA KITA
PADA masa yang sama, cerita Mawi, kejayaan dan populariti yang pernah dikecapi juga merupakan satu ujian buatnya lantaran tidak semua orang mempunyai hati yang sama, suka dengan dirinya.
Lalu, sebagaimana lumrahnya anak seni, Mawi tidak terkecuali dihenyak dengan macam-macam kontroversi yang mewarnai lagi kanvas seninya. Bagaimanapun, penyanyi dan penyampai radio Zayyan ini sedar, suka atau tidak, semua itu harus ditelan.
Pesanan yang sama juga diberikan buat pelapis-pelapis baharu dalam industri.
“Kalau duduk dalam dunia hiburan ini, kena sedar bahawa bukan sepenuhnya orang akan berpihak kepada kita. Tak semua akan sokong kerana ada juga sebahagian yang suka tengok kita jatuh dan di bawah.
“Peminat yang ikhlas akan menyokong kita walau naik dan turun. Tetapi golongan haters atau pembenci ini, kita buatlah apa pun, dia tetap nampak busuk. Perkara seperti itulah yang kita kena bersedia andai nak jadi anak seni.Kalau ada kata-kata nista atau kecaman, hadapi sajalah.
“Pembenci ini tak akan nampak baik kita, dia akan cari yang buruk juga. Inilah sisi dunia hiburan yang orang mungkin tak nampak. Orang hanya nampak populariti, glamor, dapat pergi acara besar-besar, sarung baju cantik-cantik dan sebagainya, tetapi hakikatnya yang tak indah pun ada,”katanya.
JANGAN KESALI
DALAM pada itu, ditanya apakah timbul kesesalan dalam hatinya apabila menjalani pelbagai cabaran dan naik turun dalam industri seni selama ini, pengarah dan penerbit filem Zim Zim Ala Kazim ini tenang menjawab dengan kata tidak.
“Kita ini jangan kesal dengan apa yang sudah kita lalui. Semua itu membawa kita ke depan sebenarnya.Kalau tak lalui, kita pun tak akan berada di sini sekarang. Memang Allah SWT itu sudah takdirkan begitu. “
Jadi, kita ikuti sahajalah. Saya pernah jatuh sakit teruk sebelum ini, itu pun kerana Allah sudah susun begitu. Memang ketika sakit atau jatuh, kita dibelenggu emosi. Tetapi kita kena berbalik semula kepadaNya. Itu sebab orang kata nak dapat keredaan itu bukan senang,”akhirinya.










