Sangka baik niat kerajaan bantu bumiputera - Fahmi

Sangka baik niat kerajaan bantu bumiputera – Fahmi

FAHMI Fadzil dalam sidang akhbar di Cyberjaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya diminta supaya bersikap terbuka dan bersangka baik terhadap usaha kerajaan Madani membantu golongan bumiputera.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sokongan yang diberikan kerajaan bukan hanya berpandukan acuan diguna pakai sebelum ini, sebaliknya mengambil kira beberapa usaha yang tidak mencapai objektif sebelum ini.

“Ikhtiar baharu yang diumumkan pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) itu telah mengambil kira realiti ekonomi pada hari ini yang dilihat lebih terbuka kepada kesan ekonomi dunia.

“Maka apa yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Mac lalu adalah ikhtiar-ikhtiar baharu yang diharap akan dapat lebih banyak membantu para peniaga dan syarikat bumiputera,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau ditanya wartawan berhubung kenyataan Aminuddin yang mendakwa KEB 2024 baru-baru ini hanya sebagai mainan politik.

Aminuddin merujuk perkara itu susulan dakwaan 60 syarikat bumiputera dalam bidang kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) tidak dipanggil untuk mendapatkan kontrak bagi pemasangan sistem solar di 300 stesen minyak milik Petronas.

Menurutnya, kegagalan bumiputera dalam ekonomi bukan disebabkan Melayu tidak pandai atau malas, sebaliknya kerajaan sendiri tidak memberikan sokongan.

Sementara itu, ditanya mengenai kebenaran dakwaan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berhubung perkara yang dibangkitkan Aminuddin itu, Fahmi berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada Petronas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN