KUALA LUMPUR: Kira-kira RM3.8 billion wang mangsa penipuan dipindahkan ke 43 negara sepanjang 2021 hingga tahun lalu.
Pemindahan wang ke luar negara berkenaan dikesan dilakukan 15 syarikat perdagangan yang berdaftar di Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, wang tersebut disyaki hasil kegiatan penipuan yang dilakukan di negara ini.
Kata beliau, siasatan lanjut mendapati syarikat-syarikat tersebut digunakan oleh sindiket penipuan untuk membuka akaun bank bagi tujuan menyalurkan wang hasil penipuan ke negara-negara berkenaan.
“Hasil risikan, JSJK mendapati wujud trend pendaftaran syarikat dan pembukaan akaun bank atas nama syarikat dengan tujuan dijadikan keldai akaun.
“Taktik ini menjadi pilihan kerana ia membolehkan transaksi kewangan dilakukan secara lebih kerap dan melibatkan amaun lebih besar,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Portal Semak Mule 2.0 di South Court, Mid Valley Megamall, di sini hari ini.
Ramli berkata, modus operandi digunakan adalah membuka syarikat dengan menggunakan khidmat setiausaha syarikat sebelum membuka akaun-akaun berkenaan.
Kata beliau, pendaftaran syarikat yang mudah disalah guna oleh sindiket penipuan mendaftarkan akaun keldai untuk menipu.
“Begitu mudah sekarang ini untuk mendaftarkan syarikat. Kadangkala tidak ada latar belakang kewangan yang kukuh sudah boleh melakukan transaksi,” katanya.
Beliau berkata, JSJK menjalankan kerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk mengenal pasti akaun-akaun keldai yang menggunakan syarikat tertentu.
“Tetapi, ia setakat kenal pasti sahaja. Mereka ini tidak terlepas dalam radar siasatan polis.
“Kita (polis) fokus untuk siasat mana-mana syarikat yang dikenal pasti. Kita siasat siapa ahli lembaga pengarah dan sebagainya. Malangnya, individu berkenaan sendiri tidak mengetahui nama mereka ada dalam syarikat itu,” ujarnya.
Beliau berkata, kebanyakan yang menjadi ahli lembaga pengarah adalah warga tempatan dengan kerjasama rakan-rakan sindiket mereka di luar negara bagi membolehkan transaksi wang dikembalikan kepada mereka semula.
“Ada satu negara yang kita semak, kebanyakan syarikat yang membuat transaksi didapati telah ditutup operasi mereka sebaik menerima wang,” katanya.
Justeru, katanya, dalam membendung kegiatan itu, JSJK melihat kepada keperluan supaya fungsi Portal Semakmule diperkasa dengan menambah satu lagi modul yang menyenaraikan syarikat-syarikat yang disyaki.
Beliau berkata, melalui portal Semakmule 2.0, pengguna diberikan akses untuk membuat carian terhadap syarikat-syarikat yang mungkin terlibat dalam aktiviti jenayah komersial.
“Setakat ini, 107 syarikat yang disyaki terlibat dengan kegiatan penipuan telah disenaraikan di dalam pangkalan data portal ini,” katanya. – UTUSAN