BANGKOK: Ratu muay thai negara, Yan Jia Chi menumpaskan juara dunia dari Thailand, Thongduang Thanawan untuk meraih emas acara wai kru di Sukan SEA Thailand 2025, sebentar tadi.
Dalam aksi final di Stadium Lumpinee itu, Jia Chi atau lebih dikenali sebagai Angie mempamerkan aksi memukau untuk memikat lima juri, sekali gus meraih 9.33 mata berbanding Thanawan 9.20 mata.
Menurut Jia Chi, pengorbanannya berkampung selama setahun di Thailand berbaloi dan menganggap kemenangannya pada hari ini adalah hasil kerja keras dalam sesi latihan.
“Saya tidak balik ke Malaysia selama setahun , cuma dalam tempoh itu ada keluar menyertai kejohanan sebelum Sukan SEA kali ini. Jadi, Jadi saya anggap kejayaan ini sangat berbaloi untuk saya.
“Di final, yang membezakan saya dengan lawan mungkin kekuatan yang saya miliki. Persaingan sangat sengit kerana kami dari pusat latihan yang sama di Thailand,” katanya ketika ditemui.
Untuk rekod, Angie merupakan pemenang pingat emas sebanyak tiga kali dalam Kejohanan Dunia Bawah 23 Tahun (U23) anjuran Persekutuan Muaythai Antarabangsa (IFMA) pada 2023 di Thailand, 2024 (Greece) dan 2025 (Turkiye).-UTUSAN










