Pendakwaan teruskan rayuan akhir kes Syed Saddiq

Pendakwaan teruskan rayuan akhir kes Syed Saddiq

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar telah mengarahkan agar pihak pendakwaan meneruskan rayuan mereka berhubung pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada empat pertuduhan membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Menurut Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Peguam Negara turut menyatakan pihak pendakwaan perlu menerima serta apa jua keputusan Mahkamah.

“Merujuk kepada arahan Yang Amat Arif Presiden Mahkamah Rayuan kepada kedua-dua belah pihak yang telah diberikan di Mahkamah terbuka pada 12 Disember 2025, pihak Perayu telah mendapatkan pandangan dan arahan Tan Sri Peguam Negara berhubung perkara ini.

“Tan Sri Peguam Negara telah mengarahkan supaya rayuan ini diteruskan serta apa jua keputusan Mahkamah Yang Mulia ini hendaklah diterima. Sehubungan itu, pihak Perayu mengekalkan hujahan bertulis dan hujahan lisan yang dikemukakan di dalam rayuan ini,” ujar Wan Shaharuddin dalam surat yang dihantar ke Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan dan dilihat media pada pagi ini.

Sementara itu Wan Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan surat tersebut telah dihantar kira-kira pukul 9.10 pagi tadi.

“Memandangkan kami dan peguam mewakili Syed Saddiq telahpun berhujah berkenaan isu-isu penting bagi rayuan ini, kami serahkan kepada kebijaksanaan panel Mahkamah Persekutuan untuk membuat keputusan,”ujarnya.

Pada 12 Disember lalu, Mahkamah Persekutuan bertindak di luar kebiasaan apabila memberikan tempoh bertenang selama seminggu dan mengarahkan pendakwaan menyatakan pendirian dalam rayuan mereka berkait keputusan mahkamah terdahulu yang melepaskan dan membebaskan Syed Saddiq.

Presiden Mahkamah Rayuan yang mengetuai panel tiga hakim mendengar prosiding di Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar Jais memberitahu pihak pendakwaan supaya meneliti kembali hujahan dan kemudian memaklumkan pendirian sebelum mahkamah membuat keputusan lanjut.

Pihak pendakwaan sedang merayu kepada mahkamah tertinggi berkenaan untuk mengembalikan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan yang sebelum ini dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap bekas Ketua ARMADA Bersatu.

Pada 22 Julai 2021, Syed Saddiq didakwa atas pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, menyalahgunakan RM120,000 serta melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM100,000 daripada dana Armada semasa beliau memegang jawatan sebagai ketua Armada.

Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan terhadapnya selepas mendapati beliau bersalah atas semua pertuduhan rasuah.

Pada 25 Jun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan salah dan hukuman yang dikenakan terhadap Syed Saddiq. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×