KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah agar anggota Jemaah Menteri sentiasa menjalankan tanggungjawab dengan integriti dan mengutamakan kepentingan rakyat.
Seri Paduka bertitah, keutamaan kerajaan perlu menitikberatkan kesejahteraan rakyat, kestabilan negara serta kemakmuran ekonomi selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik.
Baginda bertitah, menteri dan timbalan menteri perlu bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memastikan pentadbiran negara berjalan cekap dan berkesan.
“Menteri dan timbalan menteri perlu sentiasa turun padang mendengar suara rakyat. Anda perlu menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi dan komitmen tinggi,” titah Sultan Ibrahim.
Hari ini, Seri Paduka berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan serta Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia dan Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di Istana Negara.
Majlis turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. – UTUSAN










