KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan sedang rancak membuat persiapan untuk sesi prosiding dijangka bermula April ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, RCI kini rancak melaksanakan tugasnya dan sedang membuat persiapan sewajarnya.
“Sesi prosiding ini akan memanggil mana-mana individu yang dirasakan perlu dalam memberikan maklumat-maklumat penting untuk dijadikan input bagi penyediaan laporan RCI yang akan mengandungi syor-syor berkaitan perkara ini.
“Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) hari ini tidak akan sama sekali kompromi dalam sebarang hal ehwal yang membabitkan soal hak, kedaulatan dan maruah negara,” katanya semasa sesi soal lisan di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Mohamad Fatmi Che Salleh yang memintanya untuk menyatakan manfaat yang akan diperolehi daripada tindakan penubuhan RCI Batu Puteh yang diumumkan baru-baru ini.
Untuk rekod, penubuhan RCI tersebut bertujuan sebagai fact-finding mission bagi pihak Yang di-Pertuan Agong untuk membolehkan pelaksanaan siasatan lanjut terperinci secara bebas, telus dan profesional.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, terdapat pelbagai kelebihan RCI yang dibentuk termasuk dapat mengatasi cabaran-cabaran dihadapi oleh Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Putih, Batuan Tengah dan Tubir Selatan (PPK) yang ditubuhkan oleh kerajaan sebelum ini.
“Hal demikian ini kerana RCI mempunyai beberapa kuasa penting bagi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan efektif.
“Terma rujukan RCI ini jelas memberikannya kelebihan dan kuasa untuk melaksanakan siasatan secara lancar, bagi memastikan kebenaran dalam isu ini dapat dicari,” katanya.
Tambahnya, kerajaan memberi komitmen supaya laporan RCI itu dibentangkan di Parlimen kelak.
“Mesyuarat RCI pertama yang dipengerusikan oleh Tan Sri Rais (Yatim) bersama ahli RCI lain telah diadakan pada 19 Februari lalu di Istana Negara. Berikutan itu, Mesyuarat RCI Bilangan 2 Tahun 2024 pula diadakan pada 6 Mac lalu di Johor Bahru semasa lawatan kerja RCI ke Johor pada 6 dan 7 Mac 2024.
“Dalam sesi lawatan kerja tersebut, satu sesi mesyuarat juga telah diadakan dengan kerajaan negeri Johor pada 6 Mac bagi mendapatkan maklumat dan input berkaitan perkara ini.
“Lawatan kerja tersebut juga melibatkan lawatan tapak ke kawasan perairan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan melalui Abu Bakar Maritime Base,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, RCI sudah memanggil beberapa agensi kerajaan untuk memberikan taklimat berkaitan perkara tersebut.
“Seperti Jabatan Peguam Negara (AGC), Ketua Setiausaha Negara, Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet), Kementerian Luar Negeri (KLN), Majlis Keselamatan Negara (MKN), JUPEM dan PHN.
“Pihak RCI akan memanggil lagi agensi-agensi kerajaan lain dan individu-individu berkaitan untuk taklimat bagi mendapatkan input dan maklumat berhubung perkara ini dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN










