Rayuan akhir Peter Anthony 18 Julai

Rayuan akhir Peter Anthony 18 Julai

Peter Anthony
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rayuan akhir bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony ditetapkan untuk pendengaran di Mahkamah Rayuan pada 18 Julai ini.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar, Mohd. Khairi Haron pada prosiding pengurusan kes itu, semalam.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan peguam bela, Emile Ezra Md. Hussain yang mewakili Peter mengesahkan perkara itu ketika dihubungi media.

Pada 19 April 2023, Peter memfailkan notis rayuannya selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 atas kesalahan memalsukan dokumen.

Hakim Datuk Ahmad Bache menolak rayuan itu atas alasan pembelaan Anthony adalah sesuatu yang difikirkan kemudian dan tiada sebarang bukti yang menunjukkan saksi-saksi pendakwaan menipu kerana keterangan mereka konsisten dan tidak bercanggahan di antara satu sama lain.

Selain itu, Mahkamah Tinggi mendapati Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf ketika membuat keputusan untuk mensabitkan Peter dengan pertuduhan yang dihadapinya.

Pada 26 Mei 2022, Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 atau penjara 15 bulan terhadap Peter selepas mendapatinya bersalah atas pertuduhan memalsukan dokumen.

Hakim bicara berpuas hati, walaupun tiada keterangan langsung yang menunjukkan Peter telah memalsukan dokumen, mahkamah bergantung kepada keterangan ikut keadaan bahawa Peter memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat Timbalan Naib Canselor.

Azura dalam keputusannya menyatakan, hanya Peter mempunyai kepentingan untuk mendapatkan kontrak kerja-kerja penyelenggaraan dan bersungguh-sungguh mendapatkannya bagi kepentingan sendiri dan syarikatnya, Asli Jati Engineering.

Mengikut pertuduhan, Peter, 53, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Engineering Sdn. Bhd., didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN