KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dengan kes rasuah.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd.Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya turut menyokong tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terhadap pegawai dan anggota yang terlibat dalam kes rasuah.
“Secara peribadi, saya konsisten dengan pendekatan dan tindakan saya, di mana saya menyokong penuh tindakan SPRM terhadap sebarang salah laku rasuah.
“Saya serahkan kepada SPRM untuk menyiasat sepenuhnya perkara itu,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Menurut beliau, pesanan saya terhadap pegawai dan anggota JSJ berkaitan isu integriti amat jelas.
“Pesanan saya sebelum ini adalah ‘change or you will be changed’, berdasarkan perkembangan terkini, adalah wajar saya mengubah pesanan itu kepada ‘berubah atau anda akan digari’’.
“Anda tanggunglah atas perbuatan yang anda lakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan SPRM terhadap seorang pegawai kanan dipercayai terbabit rasuah bagi melindungi aktiviti haram di sekitar Kuala Lumpur.
Kelmarin media melaporkan PDRM akan melakukan siasatan dalaman terhadap pegawai kanan sebuah jabatan di Kontinjen Kuala Lumpur.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, tindakan itu akan dibuat selepas siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai.
“Saya mengesahkan pegawai kanan berpangkat Deputi Superintenden itu ditahan SPRM, kelmarin,” katanya.- UTUSAN










