SUNGAI BULOH: Semua pemimpin parti politik disaran supaya terus mengamalkan politik perpaduan demi menjaga kebajikan dan keharmonian Masyarakat.
Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan berkata, kestabilan dan keselamatan politik yang dibawa Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan merupakan ‘pegangan politik’ utama kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim .
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, formula Kerajaan Perpaduan yang telah digagaskan di peringkat Persekutuan telah menjamin kestabilan dan kesepaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
“Kita perlu bergerak ke depan. Kita perlu menjamin harapan rakyat. Yang penting permasalahan rakyat perlu ditangani secara terurus dan terancang.
“Kini, formula ini juga telah diterjemahkan pula di Parlimen Sungai Buloh di mana kita semua sentiasa mengutamakan perpaduan yang akhirnya akan memberikan manfaat kepada seluruh rakyat di Parlimen Sungai Buloh,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Bakul Makanan Dun Paya Jaras yang berlangsung di Dewan Pusat Komuniti Desa Paya Jaras Hilir, anjuran UMNO Bahagian Sungai Buloh.
Pada program tersebut, seramai 250 keluarga kurang berkemampuan menerima bakul makanan bagi mengurangkan beban yang ditanggung dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata, program tersebut tidak hanya menjadi wadah untuk aktiviti kebajikan, tetapi juga menjadi platform bagi penyatuan politik untuk saling membantu masyarakat.
Sementara itu Ramanan turut mengalu-alukan lebih banyak program kebajikan untuk dianjurkan secara bersama demi manfaat penduduk Sungai Buloh.
“Saya dengan tangan terbuka mengalu-alukan lebih banyak pengajuran program secara bersama daripada mana-mana pemimpin politik. Saya akan sentiasa memberikan kerjasama dan bantuan yang sewajarnya,” katanya. – UTUSAN











