GEORGE TOWN : Tindakan seorang pengedar dadah yang menyewa sebuah rumah dengan harga RM1,400 sebulan untuk menyimpan dadah jenis syabu akhirnya terbongkar selepas dia ditahan polis di Taman Panchor Indah, Nibong Tebal, semalam.
Dalam operasi yang berlangsung selama hampir 12 jam bermula kira-kira pukul 8 malam itu, polis turut merampas 17 bungkusan dadah jenis syabu seberat 17.29 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM571,500.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, terdahulu, suspek yang juga seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun ditahan di luar rumah sewanya menerusi operasi terancang itu.
“Ketika ditahan, polis berjaya mengesan sebungkus plastik bertulis ‘refined chinese tea’ ada bersamanya dan hasil pemeriksaan mendapati, bungkusan itu adalah dadah jenis syabu seberat satu kg.
“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan di rumah sewa lelaki itu seterusnya menjumpai 16 lagi bungkusan dadah jenis syabu yang dibungkus dalam plastik berwarna keemasan yang juga bertulis ‘refined chinese tea’,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Usuf berkata, suspek disyaki aktif menjalankan kegiatan itu sejak Oktober tahun lalu dan dadah itu juga dipercayai untuk pasaran tempatan.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 87,000 orang atau 87,000 kali penggunaan. Polis percaya dadah ini diperoleh dari negara jiran dan suspek pula bekerja sebagai ‘pusher’ (pengedar dadah) dengan sindiket tersebut,” ujarnya.
Mohamed Usuf menjelaskan, hasil ujian saringan air kencing pula mengesahkan bahawa suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai 10 rekod lampau dadah selain satu rekod jenayah dengan kali terakhir dia ditahan ialah pada 2018.
“Polis turut menyita sebuah kereta dan wang tunai berjumlah RM1,200, Suspek kini direman selama tujuh hari dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Usuf berkata, polis juga berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah dengan tertangkapnya dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan menerusi operasi yang dijalankan di Tanjong Tokong, semalam.
Beliau berkata, dalam operasi yang bermula kira-kira pukul 11 malam itu, polis turut merampas dadah jenis MDMA dan ekstasi bernilai RM27,940.
“Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 30 tahun dan bekerja sebagai tukang masak dan pelayan kedai makan. Mereka juga mempunyai kepakaran untuk mengadun sendiri dadah jenis MDMA dan ia dipercayai dijual di pusat-pusat hiburan,”katanya yang memberitahu, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari dan kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.










