PKR tapis ahli elak 'musuh dalam selimut' - Fahmi

PKR tapis ahli elak ‘musuh dalam selimut’ – Fahmi

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menapis terlebih dahulu mana-mana individu yang mahu menyertai parti itu bagi mengelak kemungkinan terdedah dengan ‘musuh dalam selimut’.

Ketua Peneranganya, Fahmi Fadzil berkata, sebarang penyertaan ahli baharu dalam parti perlu melalui mekanisme tapisan ditetapkan parti.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, pihaknya terbuka namun, pada masa sama parti tidak terdedah dengan ‘trojan horse’ (musuh dalam selimut).

“Kami mempunyai mekanisme untuk membincangkan, (kemasukan ahli) dan dengan mekanisme ini, kami akan memastikan kami tidak mempunyai musuh dalam selimut atau orang yang akan menyebabkan masalah kepada kami.

“Sebelum ini, kami ada pemohon yang kami tangguhkan terima selepas melalui proses ini. Jadi, kami ada sistem sedia ada,” katanya selepas Majlis Peluncuran E-Farmasi: Penyelesaian Digital untuk Pusat Penjagaan Kesihatan Generasi Seterusnya di Universiti Mutimedia, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, bekas ahli majlis tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Muhammad Faiz Na’aman mengesahkan kemasukannya ke dalam PKR.

Muhammad Faiz dilaporkan berkata, beliau membayangkan lebih ramai lagi akan mengikut jejak langkahnnya itu malah, ia lebih ketara menjelang pemilihan parti Bersatu yang dijangka berlangsung tahun ini.

Turut diterima masuk sebagai ahli PKR adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil Adhif Syan Abdullah.

Sebelum ini juga, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dilaporkan berkata, PKR bukan sebuah parti politik tong sampah yang akan menerima keahlian bekas pemimpin parti lain.

Katanya, ahli parti perlu ditapis dan disemak terlebih dahulu malah, individu bermasalah seperti yang ada rekod jenayah, bankrup dan terlibat rasuah seharusnya ditolak.

Menurutnya, langkah tersebut perlu dibuat bagi memastikan PKR terus kekal sebagai sebuah parti politik yang bersih dalam usaha melaksanakan agenda reformasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN