SHAH ALAM: Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi membincangkan pindaan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU).
Timbalan Presidennya, Mohamed Yusuf Hassan Roslan berkata, pertemuan tersebut bertujuan menyampaikan pandangan dan pendapat mahasiswa berhubung pindaan tersebut mengikut arus perdana.
“MPPK menyambut baik dengan seruan yang dilontarkan oleh KPT. Ini akan memberikan ruang kepada mahasiswa untuk melontarkan pandangan supaya pindaan tersebut selari dengan keperluan semasa mahasiswa.
“Dalam pada itu, bacaan kedua pindaan AUKU telahpun berlaku pada bulan ini. Banyak respon yang konstruktif perlu diambil kira supaya sewaktu pindaan AUKU kelak memang meliputi segala aspek.
“Pindaan AUKU kali ini melibatkan beberapa seksyen yang bakal mengubah landskap kepimpinan mahasiswa di universiti. Hal ini kerana banyak autonomi akan diberikan pada pihak mahasiswa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru beliau menyeru semua badan-badan mahasiswa supaya terlibat sama dalam pertemuan tersebut untuk melontarkan idea yang boleh digerakkan bersama.
Dalam pada itu, Mohamed Yusuf Hassan memaklumkan MPPK kerap mengadakan libat urus bersama KPT bagi menyampaikan pandangan berkenaan pemerkasaan mahasiswa.
“Antaranya seperti penglibatan terus dalam tadbir urus pentadbiran mahasiswa universiti, penganjuran pilihan raya kampus, autonomi kelulusan program & autonomi kelulusan kewangan.
“Banyak perkara juga mendapat kata sepakat dan menguntungkan mahasiswa. Daripada itu, pentingnya penglibatan bersama mahasiswa supaya pandangan mahasiswa pada masa kini didengari,” jelasnya. – UTUSAN










