Pilih pelakon popular, Erma Fatima mahu karya ditonton - Utusan Malaysia

Pilih pelakon popular, Erma Fatima mahu karya ditonton

PETALING JAYA 7 MAC 2024 - Erma Fatima pada Sesi Tayangan Barisan Drama ‘RaRa Macam Dulu-Dulu’ yang diadakan di GlamHall Damansara. / M Firdaus M Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Produser dan pengarah terkemuka, Erma Fatima berpendapat pemilihan pelakon popular seiring kualiti adalah penting bagi memastikan karyanya mendapat tempat di hati peminat drama atau filem.

Jelasnya, pelakon berkualiti ditambah pula dengan populariti akan dapat mewarnakan sesebuah karya itu dengan lebih baik sekali gus dapat memberi impak kepada naskhah tersebut.

“Saya mahu karya saya ditonton. Saya tak nak syok sendiri. Popular itu penting, sama juga dengan kualiti. Saya pilih kedua-duanya. Apabila pelakon itu ada kualiti dan popular, karya itu akan lebih baik.

“Tetapi tidak bermaksud popular itu kriteria utama. Saya juga terbuka dengan kehadiran pelakon baharu. Peluang itu sentiasa ada dan saya percaya, dengan pemilihan karya yang baik, popular itu akan datang sendiri,” ujarnya.

Erma menjawab persoalan pemilihan barisan pelakon popular antaranya Nur Fazura, Nabila Huda, Sophia Al Barakbah, Hannah Delisha dan Datuk Adi Outra bagi drama baharunya, Lelaki Itu.

Ditanya adakah Lelaki Itu akan menjadi mangsa kontroversi seperti mana drama sebelum ini, Perempuan Itu, Erma dengan berseloroh menjawab;

“Tiada siapa akan dukung Fazura kali ini. Tiada adegan dukung-dukung. Cuma ada beberapa watak yang akan menjadi perbincangan dan boleh mencetuskan kontroversi. Sebagai contoh, watak Fazura.

“Watak itu mewakili wanita yang berada dalam perkahwinan yang amat menyakitkan tetapi bertahan dan bersabar kerana cinta. Ramai kan seperti watak itu?

“Setiap watak dalam Lelaki Itu ada karakter masing-masing dan semuanya huru hara kerana seorang lelaki. Setiap mereka ada masalahnya,” katanya.

Lelaki tu mula bersiaran menerusi slot Samarinda TV3 bermula 19 Mac lepas setiap hari Isnin sehingga Jumaat pada pukul 10 malam.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN