LOS ANGELES: Pelakon, Blake Lively membuat permohonan maaf kerana mempersendakan Puteri Wales, Kate Middleton gara-gara sebuah gambar yang tular sebelum ini.
Permohonan maaf menerusi Instagram itu dibuat pelakon tersebut selepas Kate pada semalam membuat pendedahan tentang penyakit kanser yang dialaminya.
“Saya pasti tiada siapa yang peduli sekarang ini, tetapi saya perlu menyatakannya di sini.
“Saya telah memuat naik perkongsian bodoh mengenai gambar yang disunting itu dan hari ini, tindakan tersebut memalukan saya.
“Saya mohon maaf. Diharapkan kita semua baik-baik sahaja,” tulisnya di platform berkenaan.
Lively sebelum ini mempersendakan sebuah gambar yang menunjukkan Kate bersama anak-anaknya iaitu Putera George, Puteri Charlotte dan Putera Louis.
Gambar yang didakwa disunting itu dipertontonkan kepada umum setelah ketiadaan Kate membuat penampilan awam selepas menjalani pembedahan abdomen Januari lalu.
Pihak istana bagaimanapun telah mengarahkan agar gambar tersebut diturunkan dari Internet, serta merta.
Sementara itu, Kate menerusi perkongsiannya baru-baru ini memaklumkan disahkan mengalami kanser menerusi laporan yang dibuat selepas pembedahan berkenaan.
Beliau yang tidak berkongsi jenis kanser berkenaan memaklumkan keadaannya stabil dan dalam pemulihan.










