IPOH: Perak belum sempurna biarpun merakam kemenangan 3-0 ke atas Geylang United FC dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pertama di Stadium Perak, semalam.
Ketua Jurulatih, Yusri Che Lah berkata, masih banyak ruang untuk pembaharuan dalam pasukan The Bos Gaurus.
“Kemenangan dengan tiga gol serta tidak dibolosi sudah tentu meningkatkan keyakinan pemain.
“Namun masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Ini satu permulaan baik dan saya berharap pemain akan meneruskan rentak dalam perlawanan akan datang.
“Kami ada banyak lagi perlawanan persahabatan. Ada tiga lagi perlawanan persahabatan sebelum sambutan Hari Raya,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan semalam.
Perlawanan terdekat ialah bertemu juara Liga S, Albirex Niigata di Ipoh pada 30 Mac.
Apapun, motif Yusri yang menurunkan semua pemain dalam perlawanan semalam dilihat berjaya.
“Stadium Perak bukan mudah untuk beraksi kerana padangnya berat. Bukan semua pasukan boleh beraksi dengan baik atas permukaan ini, ” katanya.
Sementara itu, jurulatih pasukan lawan, Mohd Noor Ali akur akan kelebihan Perak.
“Mereka tampak lebih cergas dan berjaya menekan kami. Kami perlu pertingkat tahap kecergasan kami, ” katanya. – UTUSAN










