Perlis, Selatan Thai kerjasama perkasa sektor pelancongan

Perlis, Selatan Thai kerjasama perkasa sektor pelancongan

MOHD. Shukri Ramli bergambar bersama wakil media selepas Mesyuarat Perbincangan Agenda Pelancongan dan Kerjasama Perlis Bersama Selatan Thailand di Hotel Yannaty, Hatyai, Thailand semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HATYAI: Perlis akan menjalinkan kerjasama erat dengan tiga wilayah Selatan Thailand dalam merancakkan sektor pelanco­ngan dua hala sekali gus membantu menarik pelancong khususnya dari wilayah berkenaan di negeri ini terutama bersempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.

Bagi kerjasama tersebut, se­buah jawatankuasa khas ber­sa­ma tiga wilayah Selatan Thai­land membabitkan Yala, Song­kla dan Satun akan ditubuhkan dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, penubuhan ja­watan kuasa berkenaan bakal memudahkan lagi perhubungan dan kerjasama antara Perlis bersama tiga wilayah Selatan Thailand tersebut khususnya dalam merancakkan lagi penganjuran TMPs.

Ujarnya, kesinambungan hu­bungan antara pemain-pemain pelancongan negeri ini dan Selatan Thailand akan berterusan bagi memastikan peningkatan pelancongan dari negara jiran tersebut ke Perlis.

Katanya, jika sebelum ini, sering dimaklumkan mengenai jumlah pelancong Malaysia ke Thailand dan kali ini, beliau mahu melihat peralihan pelancong Thailand pula ke Malaysia khususnya Perlis yang mempunyai lokasi-lokasi menarik yang tidak kurang menariknya berbanding negara jiran berke­naan.

“Jawatankuasa khas ini akan ditubuhkan dalam sedikit masa lagi dan kita mulakan usaha ini untuk sektor pelancongan terlebih dahulu.

Selepas itu ia mungkin boleh diperluaskan dalam bidang lain termasuk pendidikan, ekonomi dan pelbagai lagi,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat perbincangan agenda pelanco­ngan dan kerjasama Perlis dan Selatan Thailand di Hotel Yannaty, semalam.

Dalam sesi dialog bersama pe­main industri pelanco­ngan negara jiran tersebut turut dibangkitkan mengenai kekakangan van pelancongan Thailand membeli diesel di Malaysia selain pelbagai perkara lain berkaitan kepentingan pelancongan Perlis dan Thailand.

Mengulas mengenai perkara itu, Mohd. Shukri berkata, maklumat berkaitan isu kekangan jualan diesel berkenaan baru diterima dan pihaknya akan berusaha menyelesaikan bagi memastikan kehadiran pelancong ke Perlis tidak terjejas.

“Dari segi pembelian petrol, pihak terlibat sememangnya tidak mempunyai masalah namun kekangan yang berlaku adalah membabitkan pembelian diesel bagi van pelancong dan seumpamanya,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Shukri juga menasihatkan pemain industri di Perlis boleh mencontohi peniaga Thailand yang amat mengutamakan kebersihan da­lam perniagaan bagi menarik kehadiran pelancong.

“Perlis amat berpotensi besar dalam sektor pelancongan berikutan mempunyai tarikan tersendiri seperti keindahan alam semula jadi keunikan makanan dan pelbagai lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shukri juga memaklumkan bahawa cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan Kuala Perlis ke Satun, Thailand masih dalam peringkat kajian dan belum dimuktamadkan buat masa ini.

Katanya, cadangan pembinaan jambatan itu difahamkan akan membabitkan laluan sejauh 15 kilometer (km) merangkumi dua kilometer di bahagian Kuala Perlis dan bakinya di bahagian Satun.

“Apapun, kita akan cuba dulu di peringkat awal ini untuk mempromosikan Perlis ini dengan lebih giat lagi dan kita tengok kehadiran pelancong daripada Selatan Thailand ini khususnya Satun meningkat dengan begitu baik baharulah kita tidak ada masalah untuk membina jambatan itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×