PUTRAJAYA: Penyelesaian isu doktor kontrak, penggunaan Ivermectin merawat pesakit Covid-19 dan pengurangan kes kematian di luar hospital akibat pandemik itu antara 26 perkara digariskan Khairy Jamaluddin dalam tempoh 100 hari pentadbiran beliau sebagai Menteri Kesihatan.
Malah program vaksinasi kepada remaja dalam usia 12 hingga 17 tahun juga akan bermula minggu depan di Sarawak kerana negeri itu sudah mencapai nilai ambang 80 peratus.
Menurut Khairy, 26 perkara yang menjadi fokus kerajaan, merangkumi semua aspek penting kesihatan dan tidak hanya tertumpu kepada usaha memerangi wabak Covid-19.
Katanya, ia juga menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) beliau dalam menerajui kementerian itu termasuk sebagai persiapan negara ke arah fasa endemik, tanpa meminggirkan hal-hal kesihatan lain.
Beliau akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) baharu bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar lebih jelas dan mudah difahami terutama dalam peralihan fasa endemik.
“Sebagai kementerian tunjang utama dalam perang melawan Covid-19, ia pasti menjadi tumpuan rakyat dalam tempoh 100 hari ini.
“Justeru, bagi memastikan kita terus selamat daripada wabak, persiapan dan peralihan dalam kehidupan seharian perlu dibuat dengan baik ketika pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial,” kata beliau dalam sidang akhbar khas di sini kelmarin.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan memastikan terdapat penyelesaian terbaik berkenaan isu doktor kontrak yang kini dalam peringkat perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Kata beliau, polemik penggunaan ubat Ivermectin pula akan diselesaikan melalui pengumuman hasil kajiannya selain membangunkan satu aplikasi untuk mengesan Covid-19 melalui batuk Prototaip Cough Apps (versi Beta) dan pembangunan pangkalan data suara, alat pengumpulan dan pemeriksaan suara berasaskan web dalam talian dan model kecerdasan buatan (AI).
“Bagi kes BID, kita akan usaha dalam 100 hari ini untuk kurangkan peratusan BID kepada kurang 15 peratus jumlah kematian berbanding 20 peratus ketika ini,” kata beliau.
Jelas Khairy, kementeriannya juga sangat mementingkan peratus vaksinasi lengkap dalam kalangan populasi dewasa agar mencapai sasaran 80 peratus seperti yang dijadualkan dan seterusnya rakyat boleh kembali ke arah kehidupan normal.
“Harapan saya juga dalam tempoh ini seramai mungkin remaja dapat menerima vaksin mereka supaya awal tahun persekolahan nanti remaja kita lengkap terima vaksin selain mengeluarkan dasar untuk penggunaan dos penggalak vaksin yang pelan pelaksanaannya dirancang seawal tahun depan,” katanya. – UTUSAN










