IPOH: Operasi pembenihan awan di kawasan Tasik Bukit Merah, Bagan Serai yang mulai kering berikutan cuaca panas akan dilakukan selama tiga hari pada 29 hingga 31 Julai ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, tarikh tersebut ditetapkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk pembenihan awan dilakukan.
Menurutnya, pembenihan awan di kawasan itu sangat penting kerana air di Tasik Kolam Bukit Merah yang menjadi sumber utama air untuk kegunaan domestik dan pertanian terutama sawah padi di Kerian serta kegunaan perindustrian di Taiping didapati surut berikutan cuaca panas.
“Tarikh pembenihan awan sebelum ini dipinda disebabkan beberapa faktor termasuk program-program besar di peringkat nasional yang tidak membolehkan pesawat digunakan untuk pelaksanaannya.
“Kerajaan negeri memang mahu mempercepatkan pelaksanaan pembenihan awan tetapi ia mesti bergantung pada tarikh yang ditetapkan oleh MetMalaysia.
“Kerajaan negeri tidak boleh pilih tarikh sendiri, ia mesti ikut MetMalaysia. Itu yang membuatkan tarikhnya ditunda kepada 29 hingga 31 Julai ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pemberita pada program Ziarah Kasih Tani dan Promosi Hasil Tani Negeri Perak di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Pertanian Negeri Perak, Norsiyenti Othman dan Pengarah Perikanan Negeri, Mohd Ghazali A Manap.
Pengairan untuk sawah padi di Bagan Serai dihentikan sepenuhnya oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian pada 28 Jun lalu berikutan paras air tasik itu yang semakin menurun.
Sementara itu, pada program hari ini, Mohd. Zolkafly mengagihkan 120 kotak makanan berisi produk hasil tani kepada golongan yang memerlukan di dua lokasi iaitu di The Store dan di Masjid India Ipoh, Jalan P. Seenivasagam di sini.
“Penyerahan pek kotak makanan ini tidak mengira kaum mahupun agama. Meskipun, kita melakukan penyerahan di masjid, ada juga orang bukan beragama Islam menerima penyerahan tersebut.
“Kita juga akan terus melakukan penyerahan seperti ini pada masa-masa akan datang,” katanya. – UTUSAN










