IPOH: Pembenihan awan di Taman Tasik Taiping yang kering bukan keutamaan kerajaan negeri ketika ini berbanding kekeringan dialami Empangan Bukit Merah.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini kerana tasik itu merupakan taman rekreasi yang tidak berfungsi seperti Empangan Bukit Merah yang perlu membekal air kepada penduduk dan kawasan pertanian di negeri ini.
“Taman Tasik Taiping tidak sama seperti Bukit Merah. Bukit Merah adalah punca pengairan kepada pertanian. Taman Tasik Taiping adalah rekreasi. Jadi keperluan mendesak itu lebih kepada Bukit Merah sebab melibatkan pengairan padi dan pertanian.
“Taman Tasik Taiping kita tidak dapat hendak berikan perhatian kerana pembenihan awan ini agak mahal. Jadi kita tunggu sepertimana biasa secara semula jadi,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Townhall Wanita Perak di sini semalam.
Kawasan rekreasi popular di Taiping, Taman Tasik Taiping ki semakin kering berikutan cuaca panas
Difahamkan air di tasik itu kering sejak dua minggu lalu sehingga menyebabkan tanah dasar tasik merekah.
Operasi pembenihan awan di kawasan Tasik Bukit Merah, Bagan Serai yang mulai kering berikutan cuaca panas akan dilakukan selama tiga hari pada 29 hingga 31 Julai ini. – UTUSAN










