IPOH: Amaran untuk menarik diri daripada acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Kuching pada Ogos depan bukan omongan kosong.
Sebaliknya, Perak FC sedia untuk mengotakan janji tersebut jika bajet untuk persiapan pasukan ke Sukma tidak ditambah.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsudin berkata, kelab itu tidak mampu mengeluarkan bajet tambahan bagi membiayai perbelanjaan pasukan bola sepak ke Sukma.
Menurutnya, kerajaan negeri hanya memberi bajet RM50,000 kepada Perak FC untuk persiapan skuad bola sepak Perak ke Sukma.
“Perak FC tidak bersetuju dan memohon peruntukkan tambahan iaitu sekitar lebih RM100,000.
“Jumlah yang diminta Perak FC itu tidak sampai pun lima peratus daripada perbelanjaan setahun pasukan.
“Jumlah perbelanjaan pasukan Bawah-18 dan Bawah-20 adalah RM4 juta hingga RM5 juta setahun, ” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini semalam sempena perlawanan persahabatan di antara Perak FC dan kelab Singapura, Geylang FC.
Bobie Farid berkata, sekurang-kurangnya bajet yang diberikan sama seperti yang diterima negeri lain untuk skuad bola sepak Sukma.
“Jika ada pasukan yang mampu mewakili Perak dalam Sukma dengan bajet RM50,000, silakan. Perak FC memang tidak mampu,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Perak besar kemungkinan tidak menyertai acara bola sepak Sukma 2024 kerana kurang tajaan dan sokongan kewangan daripada pihak kerajaan negeri.
Masalah itu didedahkan oleh Pengarah Pembangunan Belia Perak FC, Neow Choo Seong yang memberitahu Perak FC hanya diberi peruntukkan RM50,000 untuk persiapan pasukan bagi Sukma dan peruntukkan sebanyak itu tidak mencukupi.
Perak melengkapkan hatrik pingat emas acara bola sepak pada Sukma edisi 2014, 2016 dan kali terakhir dengan menewaskan Kedah 2-1 pada final edisi 2018 di Ipoh. – UTUSAN










