IPOH: Perak FC dan Geylang FC tekad beri persembahan terbaik biarpun pertemuan di Stadium Perak di sini malam ini sekadar perlawanan persahabatan.
Bagi Pengurus Geylang International Football Club, Leanard Koh, Kelab Singapura itu memandang serius perlawanan ini dan berharap pulang dengan kejayaan.
“Perak FC mempunyai reputasi tinggi dan pemain Geylang turun dengan azam meraih kejayaan.”
“Kami akan memberi tentangan sengit,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Pengurus Geylang itu sedar pertemuan itu tidak mudah bagi pasukannya kerana bertemu pasukan berpengalaman .
Sementara itu, Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah menyifatkan perlawanan itu sebagai medan menguji kemampuan pelatih.
“Kami baru berlatih selama dua-tiga minggu, jadi perlawanan ini pentas terbaik menguji pelatih. Tambahan pula kami menampilkan tiga muka baru ,” katanya.
Pemain baharu yang dimaksudkan ialah Lee Tae Min dari Korea dan Luiz Motta dari Brazil serta kapten B-23 Kyrgyzstan, Adilet Kanybekov.
Trio itu membuat penampilan pertama bersama pasukan Kejor Yob Kejor dijangka menarik kunjungan penyokong ke stadium malam ini. – UTUSAN










