PASIR MAS: Taktik menjadikan sebuah rumah di Kampung Jenerih Tujuh di sini sebagai pusat transit barangan seludup terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa awal semalam.
Serbuan pukul 4.30 petang oleh anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan membawa kepada rampasan barangan kawalan iaitu minyak masak peket serta gula.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan di lokasi membawa kepada penemuan 2,992 kilogram (kg) mintak masak bersubsidi yang telah disembunyikan di pekarangan rumah berkenaan.
Menurutnya, pada masa sama KPDN yang melakukan serbuan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor turut menemui 480 kg gula pasir.
“Kesemua barang kawalan itu ditemukan di pekarangan garaj kenderaan terbuka yang dilitupi dengan plastik hitam.
“Pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Proton Saga Aeroback turut membawa kepada penemuan minyak masak peket bersubsidi,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Azman memberitahu, berpandukan kepada maklumat risikan rumah tersebut dijadikan transit simpanan sementara barang kawalan sebelum seludup ke negara jiran menggunakan pangkalan haram yang terdapat di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – UTUSAN










