SHAH ALAM: Sebanyak 36 daripada 118 keluarga penduduk Kampung Bunga Raya dekat Kampung Melayu Subang, di sini ditawarkan untuk membeli rumah di bawah skim Rumah Selangorku oleh kerajaan negeri bernilai RM42,000.
Kelulusan tersebut diberikan kepada mereka yang membuat permohonan pada pertemuan pertama penduduk dengan pihak kerajaan negeri pada 5 Januari lalu dan surat tawarannya akan diserahkan melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) esok.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, Papparaidu Veraman berkata, baki seramai 82 keluarga lagi akan diberikan secara berperingkat selepas mereka membuat permohonan dan melepasi tapisan ditetapkan.
Menurutnya, tapisan tersebut termasuklah mengenal pasti penama atau penduduk asal yang sudah meninggal dunia supaya tawaran dapat diberikan kepada anak atau waris terdekat yang memohon.
“Rumah yang 118 adalah di kawasan Alam Perdana, harga rumah adalah RM42,000. Dijangka keseluruhannya boleh selesai sebelum akhir bulan ini. Kita buat tapisan, yang memohon sahaja kita beri, tak memohon kita tak beri.
“Ini adalah rentetan daripada mesyuarat kali pertama di pejabat saya pada 5 Januari lalu, dalam perkara tersebut antara yang dibincangkan adalah penempatan sementara di Program Perumahan Rakyat (PPR), tetapi mereka menolak.
“Jadi, sebahagian daripada mereka sudah membuat permohonan, jumlahnya 36. Yang selebihnya, seperti disebutkan meninggal dunia atau berpindah, mereka pun mempunyai peluang yang sama, untuk memohon,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan bekas Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah menafikan dakwaan penduduk dihalau dari Kampung Bunga Raya yang sudah diduduki sejak 1992.
Sebaliknya, mereka adalah yang dipindahkan oleh sebuah pemaju sebelum ini yang berjanji untuk membina rumah kos rendah untuk diduduki penduduk di sana, namun hal tersebut tidak menjadi kenyataan apabila syarikat berkenaan muflis.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim menegaskan, isu yang cuba ditimbulkan berhubung penempatan di kampung berkenaan adalah bersifat politik.
“Saya sendiri sudah menangguhkan proses perobohan sebanyak tiga kali bermula pada tahun lepas dan kali terakhir adala pada awal Februari, jadi sebab itu bila ada beberapa pihak pembangkang cuba mengambil kredit atas isu itu, jadi saya mengambil keputusan untuk menguruskan dari tepi (secara senyap).
“Jadi, apa yang sudah ditawarkan, perbincangan kami ialah, kami akan menawarkan satu rumah untuk mereka beli sebab hasil daripada kegagalan pihak pemaju yang muflis dan gagal untuk melaksanakan pembinaan rumah,” jelasnya.
Katanya lagi, isu tersebut cuba diselesaikan oleh kerajaan negeri sejak 2008 yang turut dibantu Sivarasa ketika itu dengan menyediakan peguam secara percuma kepada penduduk untuk membantu mereka menyelesaikan masalah itu di mahkamah. – UTUSAN










