PENGALAMAN diserang penyakit angin ahmar sekitar empat bulan lepas memberi banyak pengajaran buat pelakon, Esma Daniel, 55.
Esma atau nama sebenarnya Esma Daniel Md. Isa bersyukur, kerana diberi peluang kedua untuk sihat dan menjalani kehidupan normal selepas melakukan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia.
Katanya, pengalaman mengerikan itu mengajar beliau membuang ego dan mendahulukan kesihatan dalam apa juga keadaan.
“Ketika berdepan serangan itu, saya berdegil dan enggan ke hospital. Masa itu saya ego, tak mahu dianggap sakit kerana takut periuk nasi saya terjejas.
“Saya bernasib baik kerana isteri, Nur Atira Mazlan bertegas dan memaksa saya untuk ke hospital.
“Selepas menerima nasihat doktor, baru saya sedar tindakan saya yang lambat ke hospital berpotensi mengakibatkan kecacatan atau lumpuh kekal,” kongsinya.
Esma berdepan detik cemas apabila diserang angin ahmar atau strok selepas melakukan larian pada 10 November tahun lepas.
Serangan tersebut mengakibatkan bahagian tubuh sebelah kanannya lemah sekaligus hilang kemampuan untuk berdiri.
Namun keadaan pelakon filem KL Special Force ini kembali stabil selepas menerima rawatan di hospital berkenaan.
Kini Esma masih perlu menjalani rawatan menerusi pengambilan ubat-ubatan untuk tempoh satu tahun.
“Saya bersyukur kerana rawatan yang doktor sarankan, iaitu kaedah mencairkan penyumbatan darah pada otak berkesan memulihkan saya.
“Saya perlu terus mengambil ubat-ubatan dan terpaksa mengeluarkan belanja yang tinggi untuknya. Pada bulan pertama, saya membelanjakan RM400 untuk ubat. Tapi saya lega, kerana doktor mengesahkan saya boleh mengambil ubat yang lebih murah.
“Serangan tersebut telah meninggalkan trauma pada diri saya, membuatkan saya lebih berhati-hati. Tetapi kadangkala saya berdepan kebimbangan tanpa sebab.
“Hidup saya kini berubah, serta merta saya tinggalkan tabiat merokok dan pantau pemakanan. Walaupun 30 tahun merokok, saya tak ada masalah untuk tinggalkannya.
“Alhamdulillah kini stamina saya bertambah baik dan fokus juga lebih tajam,” kongsinya lagi.
KIKIS TANGGAPAN SEKELILING
ESMA berdepan satu lagi cabaran, terpaksa mengubah persepsi segelintir pihak yang beranggapan daya kemampuannya melemah gara-gara serangan angin ahmar.
Jelas Esma bukan mudah untuk meyakinkan yang dia kini kembali sihat dan mampu bekerja. Justeru dia perlu membuktikan sesuatu.
“Kesihatan saya pulih sepenuhnya. Saya sudah mampu kembali bersukan kerana stamina saya kini bertambah baik.
“Saya juga tidak bermasalah melakonkan babak aksi, malah telahpun membuktikannya menerusi babak pergaduhan dalam penggambaran sebuah filem baru-baru ini.
“Saya tak mahu orang sangka saya sudah tak mampu bekerja. Hakikatnya, saya tak ada masalah malah berkemampuan untuk aktif, pergi gimnasium dan sebagainya,” ujarnya.








